Selasa, November 24, 2009

Bantu Ir Nizar, Selamatkan Bola Sepak Perak


Setelah Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin dihalau dari kerusi Menteri Besar
Perak secara paksaan, kini kerusi presiden Persatuan Bola Sepak Perak pula cuba dirampas daripada beliau.
Persatuan bola sepak Perak kini berhadapan dengan musibah apabila kemungkinan besar tidak dapat beraksi di Liga Malaysia pada tahun 2010 disebabkan masalah kewangan dan hutang yang tidak mampu diselesaikan.
Kerajaan negeri BN Perak pula lepas tangan tidak membantu dan mendesak supaya Ir Nizar melepaskan jawatannya sebagai presiden. Masalah kewangan bola sepak Perak ini bukanlah bermula daripada pemerintahan PR di Perak, sebaliknya semenjak zaman BN memerintah lagi Persatuan bola sepak Perak telah menghadapi masalah kewangan yang serius.
Dari itu, Dewan Pemuda PAS Perak telah melancarkan derma rm1 bagi menyelamatkan bola sepak Perak sekaligus mempertahankan maruah Datuk Seri Ir Nizar sebagai presiden bola sepak Perak.

Jumaat, November 20, 2009

Mencari Damai Di Hati


Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,
Untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari panduan,
Kita bongkar rahsia sunah Nabi,
Cari pedoman,
Aku hidup kerana Dia Rabbi,
Dialah teman,
Dialah wali,
Dia mencukupi,
Aku hidup bererti,
Menikmati damai abadi.
(Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi)

Rabu, November 18, 2009

PAS Diminta Meletakkan Calon Mampu Berhujah

Salah satu kelebihan yang perlu ada pada seseorang pemimpin adalah kebolehan berhujah. Ini berikutan potensi PAS dan Pakatan Rakyat semakin menyerlah untuk memerintah Malaysia pada masa akan datang.
Di Perak contohnya, kemampuan untuk berhujah dalam sidang Dun hanya diberatkan kepada Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin. Salah satu rakaman sidang Dun Perak yang pernah saya tonton jelas memperlihatkan tiada wakil rakyat PAS yang dapat membantu Ir Nizar ketika mana Ir Nizar dihentam bertali arus oleh adun-adun BN.
Perkara-perkara sedemikian terjadi mungkin berikutan ketidakmampuan wakil rakyat PAS untuk berhujah. Selain Ir Nizar dan Drs.Khalil Idham Lim daripada PAS, adun PAS Perak yang lain dilihat tidak menonjol lebih-lebih lagi ketika krisis politik Perak memuncak. Adun-adun DAP pula dilihat menyerlah dalam menjuarai isu.
Contoh adun-adun PAS yang mampu berhujah dengan baik adalah adun-adun PAS daripada Kelantan. Majoriti mereka mampu berhujah dengan baik dan berfakta. Walaupun penggal yang lepas separuh adun di dalam Dun Kelantan adalah daripada BN, namun kemampuan adun-adun PAS berhujah menjadikan sidang dun dikuasai oleh PAS, sedangkan kekuatan BN berhujah hanya bersandarkan kepada beberapa adun sahaja.
Dari itu, PAS kini sudah boleh bersiap sedia melatih dan memberi kursus kepada pemimpin untuk berhujah dengan baik lebih-lebih lagi kepada calon-calon PAS bagi pilihanraya umum akan datang yang mungkin akan menjelma kurang 2 tahun setengah saja lagi.

Anwar Ibrahin PM Ke-7?

Seorang rakan saya yang juga anak bekas pemimpin Umno peringkat bahagian satu ketika dulu pernah berkata bahawa gurunya (ustaz) di sekolah dahulu pernah mendakwa bahawa Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri Malaysia ke-7 suatu masa nanti.
Ustaz itu menyatakan sedemikian pada penghujung 2008, ketika itu rakan saya masih bersekolah menengah. Walaubagai manapun beliau mendakwa, itu hanya telahan peribadi dan mungkin tenungan makrifat ustaz tersebut semata-mata.
Ustaz tersebut turut menyatakan bahawa Najib akan menjadi perdana menteri ke-6 dan terakhir bagi era pemerintahan Umno/BN. Najib kini secara sah telah menjadi perdana menteri Malaysia ke-6 sedangkan dakwaan ustaz tersebut adalah pada penghujung tahun 2008, dimana ketika itu Dr. Mahathir masih lagi menjadi perdana menteri Malaysia ke-4.
Samada kebetulan ataupun direka ataupun saya ditipu rakan saya, wallahualam.

Ahli PAS Perlu Kuasai Fakta Sesuatu Isu

Pilihanraya kecil dun Bagan Pinang telah berlabuh tirai. Isa Samad mungkin masih meraikan kemenangannya. Namun daripada salah satu pengalaman rakan (dikenali sebagai Aman) yang menceritakan kepada saya, menjadikan saya ingin berkongsi kepada semua.
Dua hari sebelum hari mengundi, beliau dan beberapa ahli PAS telah turun padang berkempen dengan mengedarkan risalah kempen dan meraih undi. Tiba-tiba lalu seorang pemuda, dipercayai penyokong atau ahli Umno dan seorang ahli PAS telah memberikan risalah kempen kepada pemuda tersebut.
Lalu pemuda itu bertanya, “apa yang PAS boleh buat kalau PAS menang? PAS boleh buat pembangunan ke? Tengok tu Kelantan tak maju,” Soalan tersebut telah menaikkan kemarahan beberapa ahli PAS disitu. Lalu seorang ahli PAS di situ membalas jawab dengan mendakwa bahawa PAS bagus, perjuangkan Islam, tak rasuah, dan sebagainya.
Ahli PAS tersebut langsung tidak menjawab soalan pemuda itu secara berfakta. Sebaliknya melalut meraban entah ke mana-mana. Memandangkan Aman adalah yang paling muda daripada kalangan ahli PAS disitu, jadi Aman hanya memerhati di tepi.
Pergaduhan hampir tercetus apabila pemuda tersebut terus menerus mendakwa bahawa PAS tak boleh membawa pembangunan dan ahli PAS tersebut pula tiada hujah untuk menangkis tohmahan pemuda itu.
Akhirnya, pemuda tersebut berkata “sudahlah, kalau saya silap saya minta maaf. Tak baik kita bergaduh sesama melayu dan Islam” sambil terus bersalaman dan memeluk ahli PAS tersebut. Ahli PAS tersebut pula yang masih dalam keadaan marah terpinga-pinga dengan tindakan penyokong Umno tersebut.
Pokoknya sekarang, jelas memperlihatkan mereka tidak berilmu dalam sesuatu isu. Bukankah boleh dijawab “Kelantan tak maju sebab kerajaan pusat tak bantu. Mana-mana negeri BN pun kalau tiada peruntukan pembangunan daripada kerajaan pusat, tak mungkin sesuatu negeri itu akan maju”.
Dan masih banyak lagi fakta lain yang boleh dijawab, antaranya Kelantan tersisih daripada menerima royalti minyak, Kelantan dianak tirikan kerajaan pusat dan lain-lain lagi.
Menurut Aman, peristiwa tersebut amat memalukan. Sikap taksub dan tidak berilmu segelintir ahli PAS harus dikikis. Ahli PAS sepatutnya berilmu baik dari ilmu agama dan menguasai isu semasa, serta harus pandai mengawal emosi apabila berhadapan dalam keadaan tidak diduga. Jangan jadi seperti “orang ketawa kita ketawa, sebab ketawa tak tahu apa”.

Selasa, November 17, 2009

Dun Kota Siputeh: Kemenangan Ke-2 Untuk BN

Pilihanraya kecil yang mungkin akan berlaku di dun Kota Siputeh dalam masa terdekat ini dilihat akan memihak kepada Umno/BN setelah berjaya menang besar di dun Bagan Pinang baru-baru ini.
Ini memandangkan momentum Pakatan Rakyat dilihat semakin menurun sejak kebelakangan ini berpunca daripada beberapa isu dalaman yang berjaya dimanipulasi oleh pihak BN sekaligus memberi persepsi negatif terhadap PR.
Keputusan mahkamah juga dianggap mengejut apabila mengishtiharkan kekosongan di dun Kota Siputeh sekaligus menunjukkan bahawa BN sudah bersiap sedia untuk berpilihanraya kecil.
Pilihanraya kecil ini juga bakal menunjukkan momentum sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat jika BN berjaya menewaskan PAS dalam pilihanraya kecil itu nanti. BN semestinya memerlukan kemenangan-kemenangan dalam pilihanraya kecil setelah ditewaskan beberapa kali oleh PR dalam beberapa siri pilihanraya kecil sebelum ini.
PR juga dilihat ketandusan isu besar, atau lebih tepat lagi gagal sama sekali memainkan isu untuk menyerang BN. PR lebih kepada bertahan apabila kerap diserang oleh media-media BN.
Jika ini berterusan, PR akan menghadapi jalan yang lebih sukar untuk mempertahankan kejayaan sedia ada pada pilihanraya umum akan datang, jauh sekali untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang.

Pemimpin Berjiwa Rakyat



Kelihatan YAB Lim Guan sedang makan menggunakan tangan dan bersila di atas lantai dalam majlis berbuka puasa tempoh hari.
Adakah menteri besar dan ketua menteri daripada BN sanggup menghadiri majlis bermutu rendah seperti ini?

DUN Kota Siputeh Diisytiharkan Kosong


Kerusi DUN Kota Siputeh diisytiharkan kosong dan membuka laluan kepada pilihan raya kecil jika penyandangnya dari Umno, Datuk Abu Hassan Sarif gagal dalam rayuannya.
Keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini setelah mendengar permohonan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Abu Hassan sebagai ADUN di situ.
Abdul Isa memfailkan saman pada 1 Oktober lalu, menamakan Abu Hassan daripada BN dan SPR sebagai responden.Beliau memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ADUN bagi kerusi tersebut berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil di samping memohon ganti rugi, kos dan faedah lain.
Pada 1 September lalu, SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan di kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak SPR.
DUN Kedah akan bersidang esok untuk meluluskan bajet kerajaan PAS negeri itu.
Abu Hassan boleh memfailkan rayuan. Permohonan lisannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mahkamah itu tidak dibenarkan hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah akan mendengar permohonan formalnya Jumaat ini.
Dalam pilihan raya umum lalu, Abu Hassan menewaskan calon PAS Ismail Wan Teh dengan majoriti kecil 495 undi.Abu Hassan mendapat 8,160 undi manakala Ismail mendapat 7,665 undi.

MALAYSIAKINI

Isnin, November 16, 2009

Mustafa Ali: Hentikan Bai'ah Talak 3


KUALA LUMPUR 13 Nov. – Pucuk pimpinan Pas mahu amalan bai’ah talak tiga yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dihentikan serta-merta kerana ia bukan arahan parti selain boleh menjatuhkan martabat kaum wanita.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, sejak Pas menyertai pilihan raya beberapa dekad lalu, parti tersebut tidak pernah ada bai’ah seumpama itu melainkan bai’ah rasmi yang dibaca bagi memastikan calon wakil rakyat tidak mengkhianati parti.
Beliau berkata, bai’ah rasmi itu hanya menyebut mengenai laknat Allah terhadap mereka yang khianat terhadap perjuangan parti dan langsung tidak menyatakan selain daripada itu. “Jawatankuasa Pas Pusat tidak pernah bersetuju dan merestui bai’ah yang seperti ini dan selama ini pun kita menganggap bakal calon wakil rakyat kita menggunakan bai’ah rasmi yang disediakan.
“Atas sebab ini juga Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang minta saya lakukan siasatan supaya isu yang telah mengundang persepsi negatif rakyat terhadap Pas ini dapat diselesaikan,’’ katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi menjelaskan isu bai’ah talak tiga di ibu pejabat Agung Pas di sini hari ini.

Selasa, November 10, 2009

Zulkifli Nordin:-Mempertaruhkan Politik:Bai'ah Talaq!

07 November 2009 Oleh Zulkifli Noordin pada 5:11 PM

Salam 2 all.Saya sangat terkejut dengan pengakuan seorang YB Ahli Parlimen PAS yang mendedahkan kepada umum dan disiarkan dalam akhbar utama hari ini Sabtu 17 Zulqaedah 1430/ 07 Nov 2009 bahawa tiap calun wakil rakyat PAS dikenakan syarat bahawa mana-mana ahli yang dipilih menjadi calun bertanding mana-mana kerusi DUN atau Parlimen dikehendaki mengangkat bai'ah (sumpah setia) jika calun tersebut menang pilihanraya dan kemudiannya memilih meninggalkan PAS maka isterinya akan jatuh talak tiga. Beliau mendakwa dasar ini akan menjamin wakil rakyat PAS tidak akan melompat parti!Saya sendiri telah mendapatkan pengesahan dan pengakuan daripada beberapa wakil rakyat dan kepimpinan PAS yang membenarkan berita tersebut.Pertama, apa yang menghairankan saya mengapa YB Ahli Parlimen PAS tersebut memilih membuat pengakuan tersebut dan mendedahkannya kepada umum dan disiarkan dalam akhbar-akhbar utama? Mengapa beliau tidak membangkitkan isu ini secara dalaman dan mencari jalan penyelesaian secara muzakarah malalui saluran dalaman parti.
Saya sendiri telah dihubungi oleh ramai pihak termasuk para wartawan untuk mendapatkan komen dan ulasan serta pendirian saya dalam isu ini. Memandangkan YB Ahli Parlimen PAS tersebut telah membuat pengakuan terbuka dan mendedahkannya kepada umum, termasuk disiarkan dalam akhbar-akhbar utama, saya tiada pilihan melainkan terpaksa memperjelaskannya secara terbuka dan menyatakan pendirian saya secara umum.Bagi saya, ini adalah satu dasar yang paling tidak masuk aqal lagi memeranjatkankan yang pernah saya dengar. Amatlah malang bagi mana-mana gerakan yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan menjadikan bai'ah seumpama itu sebagai dasarnya!Dasar ini mengembalikan kita balik ke zaman jahiliah, dimana wanita menjadi bahan dagangan, pajakan dan gadaian.Tidakkah kita sedar bahawa perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci ALLAH! Dan kita jadikan perkara yang paling dibenci ALLAH ini sebagai dasar bai'ah dan sumpah ta'at setia!
Saya pada mulanya tidak mempercayai berita tersebut, apatah lagi didedahkan oleh akhbar arus perdana. Maka saya telah meminta sahabat-sahabat wakil rakyat PAS mengesahkannya. Saya sangat terkejut apabila sahabat-sahabat wakil rakyat dan kepimpinan parti tersebut mengesahkan bahwa mereka sendiri telah pun mengangkat bai'ah tersebut.Malah ada diantara mereka menceritakan bagaimana mereka sendiri menggigil apabila mengangkat bai'ah tersebut. Yang paling sedih, ada diantara para isteri yang dikehendaki hadir dalam majlis bai'ah ini menangis dan menggeletar mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi untuk kepentingan politik kepartian yang terlalu sempit dan jumud.Inilah apa yang saya labelkan sebagai mempertuhankan politik, mempertuhankan demokrasi. Apakah kita terlalu taksub dengan politik sehingga sanggup menggadai kesucian dan kemuliaan dan kemurnian perkahwinan sebagai bahan gadaian politik.
Saya pada mulanya tidak bercadang mahu menulis mengenai isu ini, dan berharap ianya dapat diselesaikan cara baik. Namun saya terkejut apabila menghubungi beberapa tokoh parti yang bukan sahaja tidak merasa bersalah dan berdosa dengan bai'ah talaq tiga ini, malahan mempertahankannya dengan alasan-alasan yang dangkal lagi memualkan, yang langsung tidak ada sandaran kepada Al Quran, sunnah Rasulullah mahupun 'amalan para sahabat dan khulafa' rasyidin. Ianya sekadar dasar yang berpaksikan kepada alasan dan sandaran aqal dangkal semata-mata!Dan saya makin rasa terpanggil menulis isu ini apabila sahabat-sahabat wakil rakyat yang telah berbai'ah meminta saya membawa isu ini, apatah lagi ianya sudah pun menjadi isu umum setelah didedahkan oleh YB Ahli Parlimen tersebut. Mereka sudah tidak boleh menanggung bebanan yang dipikul, tetapi mereka tidak mampu untuk mendedahkannya kerana takut dikutuk dan dikenakan tindakan. Namun mereka meminta isu ini dibincangkan supaya tindakan segera dapat diambil dan kemungkaran yang berlaku dapat dicegah. Mereka berharap apabila isu ini terdedah, maka ada jalan keluar bagi mereka dari ikatan bai'ah dan sumpah ini.
Saya sedar bahawa bai'ah adalah sesuatu yang dibenarkan syariat. Malah Nabi sendiri pernah mengambil bai'ah daripada para sahabat.Tetapi dalam isu ini asas bai'ah yang diangkat ialah dengan menjadikan isteri dan perkahwinan sebagai bahan tebusan. Mengapa isteri, iaitu pihak ketiga dalam hubungan diantara calun dengan partinya menjadi mangsanya. Bagaimana pula dengan anak-anak yang turut akan menjadi mangsa.Soal samada calun tersebut benar-benar melompat parti atau tidak tidak timbul. Soal samada perceraian benar-benar berlaku atau tidak bukan isunya. Soalnya ialah mengapa kesucian, kemurniaan dan kemuliaan rumahtangga dijadikan tebusan bagi bai'ah politik ini.
Mengapa tidak dibuat bai'ah dalam bentuk lain. Contohnya bai'ah saperti sumpah la'nat; iaitu saperti:"Wallahi, watallahi, wabillahi. Saya (polan bin polan) calun bagi kerusi (sekian sekian) dalam pilihanraya ke 12 ini dengan ini bersumpah jika saya memenangi kerusi ini dan kemudiannya keluar dan tidak lagi menjadi Ahli PAS atas apa sebab sekalipun maka saya akan mengosongkan kerusi tersebut sertai-merta, jika tidak la'nat ALLAH ke atas saya".Saya cukup yakin mana-mana calun akan berfikir banyak kali jika ia bercadang nak melompat parti dengan bai'ah saperti ini.Saya khuatir dengan isu saperti ini, mereka yang menyokong PAS selama ini akan menjadi ragu-ragu, malah akan menukar sokongan mereka. Sudah tentu kekhuatiran ini berasas.Bagaimana rakyat nak meletakkan harapan dan kepercayaan untuk kita memimpin dan memerintah negara jika kita sanggup menggadai dan menjadikan isteri dan perkahwinan kita sendiri sebagai gadaian politik?Apakah kelak bila menjadi Kerajaan Persekutuan dan memerintah maka semua pegawai dan kakitangan kerajaan akan dipaksa berbai'ah menceraikan isteri mereka jika tidak ta'at kepada Kerajaan?!Saya lebih terkejut apabila diberitahu bahawa dasar bai'ah talaq tiga keatas isteri ini diluluskan dan direstui oleh kepimpinan sendiri. Apakah ini benar? Beberapa orang kepimpinan yang ditanya mengesahkannya.
Saya masih lagi berharap maklumat ini tidak benar, tetapi jika ini benar saya sudah kehilangan ayat dan perkataan untuk menggambarkan perasaan dan pandangan saya.Sebab itu saya berharap Majlis Syura dan Dewan Ulama' PAS segera memperjelaskan isu bai'ah talaq tiga ini. Dan saya berharap tidak muncul sindrom malaikat bisu dikalangan mereka dalam menangani kemelut ini. Biarlah kita berani menyatakan yang hak walaupun pahit. Lebih baik diperbetulkan segera kemungkaran ini dan berharap mendapat keampunan dan keredhoan ALLAH.Saya juga menyeru Dewan Muslimat PAS menyatakan pendirian mereka dengan jelas dalam isu ini. Saya berharap Dewan Muslimat akan mengambil langkah yang tegas dan berani untuk mempertahankan hak para isteri dan wanita Islam.Saya juga meminta Majlis Fatwa Kebangsaan supaya segera bermuzakarah dan membincangkan isu ini,-apakah bai'ah saperti ini dibenarkan syara'?-jika ia, apakah sandaran atau nas yang membenarkannya?-jika tidak, apakah kesan bai'ah ini berkuatkuasa saperti satu ta'liq kepada perkahwninan mereka yang berbai'ah tersebut?-bolehkah pembai'ah tersebut terikat dengan bai'ah saperti ini dan perlu mematuhinya?-adakah cara untuk membatalkan sumpah bai'ah saperti ini? Jika ada, bagaimanakah caranya?-apakah mereka yang membatalkan sumpah bai'ah ini perlu membayar kaffarah sumpah?Saya juga mendesak supaya kepimpinan PAS segera membatalkan dasar bai'ah talaq tiga ini. Saya khuatir jika kepimpinan PAS lambat bertindak, sokongan rakyat kepada PAS khususnya dan kepada Pakatan Rakyat umumnya akan hilang. Kita perlu ingat pengundi wanita adalah majoriti dalam negara ini. Jangan sampai kita dibakulsampahkan oleh kaum wanita yang mutakhir ini meletakkan harapan kepada kita kita untuk membawa perubahan, bukan memutar jam kembali ke zaman jahiliah.Saya juga mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa saya mengambil pendirian bermufaraqah dan memisahkan diri daripada dasar ini.Sebagai seorang Ahli Parlimen dan diletakkan dalam kedudukan amanah kepimpinan ini, saya akan dipertanggungjawabkan dihadapan ALLAH kelak jika saya mengambil sikap berdiam diri dan kelihatan bersekongkol dengan dasar ini. Sebab itu saya mengambil pendirian menyatakan sikap saya secara terbuka, kerana isu ini sudah menjadi isu umum.
Saya tahu saya akan dihentam dan dicemuh oleh segelintir mereka yang taksub dan fanatik dan tidak berfikir menggunakan aqal; namun saya lebih takut dengan celaan dan cemuhan ALLAH.Allahumma ya ALLAH, persaksikanlah aku telah menyatakan perkara yang haq ini, dan aku cuba memperbetulkan kemungkaran ini mengikut keupayaan dan kedudukan yang telah Engkau berikan kepadaku. Kau berilah keampunan kepada ku, dan ma'afkanlah dan perbetulkanlah kesilapan dan kelemahanku. Berikanlah aku kekuatan iman dan taqwa dalam usaha ku untuk menyeru kepada yang ma'ruf, dan mencegah kemungkaran ini. Aku tahu aku adalah hambaMu yang paling lemah, dhoif, penuh dengan kesilapan dan kesalahan, namun aku ingin mendapat keredhoan dan maghfirahMu ya ALLAH. Ampunkanlah aku hambaMu yang lemah lagi penuh dengan dosa ini ya ALLAH. Dari Engkau kami datang, dan kepada Engkau kami akan kembali. Kabulkanlah ya ALLAH.Amin ya robbal 'alamin.Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
17 Zulqaedah 1430
07 Nov 2009

Khamis, November 05, 2009

Dakwa Blogger Pro-Umno

Pihak berkuasa dan badan bertanggungjawab diminta menyiasat dan mendakwa beberapa blog pro umno/BN yang kerap kali memainkan isu perkauman dan isu sensitif dengan cuba menaikkan kemarahan umat Islam/Melayu terhadap sesuatu isu yang telah dimanipulasi dan diputar belit.
Ini berikutan beberapa artikel dalam sebuah blog ‘Gerakan Anti PKR’ yang jelas boleh membangkitkan kemarahan umat Islam terhadap pakatan rakyat dengan isu dan tohmahan membuta tuli yang tidak berasas sekaligus akan mengelirukan rakyat.
Terdapat juga beberapa blog pro Umno/BN yang lain yang kerap kali memainkan isu-isu yang sensitif dan tidak berasas. Tindakan mereka ini jelas sekali melambangkan tahap ketidak matangan pemikiran mereka dan kejahilan mereka tentang Islam yang kesannya akan merosakkan akidah dan pemikiran umat Islam/melayu.
Amat berbeza jika dibandingkan dengan blog-blog pro pembangkang yang mana setiap artikel/berita yang ditulis adalah bersandarkan fakta dan hujah.

Najib Bersandiwara Dengan Kelantan

Pengunguman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi tadi di parlimen bahawa Kelantan akan menikmati wang ehsan bagi menggantikan royalti petroleum dilihat sebagai satu sandiwara.
Ini memandangkan wang ehsan tersebut akan disalurkan dalam bentuk pembangunan dan bukannya terus kepada kerajaan negeri Kelantan. Sudah tentu pembangunan tersebut akan dapat kepada Umno Kelantan dan bahagian-bahagian.
Pembangunan yang dimaksudkan belum tentu akan mendatangkan faedah dan manfaat kepada rakyat Kelantan dan sepatutnya PM hendaklah menyalurkan terus peruntukan wang ehsan tersebut kepada kerajaan negeri dan diuruskan kerajaan negeri seluruhnya.
Najib juga mendakwa bahawa sepatutnya Kelantan dan Terengganu tidak berhak mendapat royalti petroleum memandangkan dari sudut perundangan, penghasilan petroleum tersebut adalah di kawasan bertindih dan bukannya di dalam perairan negeri.
Jika begitu dakwaan Najib, sepatutnya Terengganu tidak boleh menikmati royalti petroleum sewaktu pemerintahan BN sehinggalah tahun 1999 apabila tampuk pemerintahan BN Terengganu jatuh ke tangan PAS.

Selasa, November 03, 2009

Semoga Berjaya




Setelah 39 tahun tidak beraksi di pentas akhir bola sepak Piala Malaysia, akhirnya Kelantan berjaya menjejakkan kaki untuk beraksi di pentas akhir pada hari Sabtu ini menentang Negeri Sembilan di Stadium Bukit Jalil.