Jumaat, Oktober 30, 2009

Hilang Keyakinan Dengan PKR

Tindakan Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah daripada PKR yang keluar parti dan mengishtiharkan menjadi adun Bebas yang ‘mesra’ (menyokong) BN telah dijangka sejak dari awal lagi.
Dan kini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Klang pula mendakwa bahawa Badrul sememangnya bermasalah sejak dari tahun 2008 lagi.
Begini jugalah ceritanya apabila adun Lunas daripada PKR yang ishtihar keluar parti dan menjadi adun Bebas yang menyokong BN, tiba-tiba sahaja PKR negeri menyatakan adun Lunas tersebut memang bermasalah.
Sehingga hari ini, sebanyak 4 adun PKR dan 1 adun DAP telah keluar parti dan menyokong BN. Sedangkan tidak ada seorang pun adun atau ahli parlimen PAS yang buat begitu. Juga dengan Umno/BN, masih belum ada yang melompat masuk PR atau Bebas.
Lebih menyedihkan, keempat-empat adun PKR tersebut adalah melayu dan islam. Amat menyedihkan, apabila perkara sedemikian berlaku hanya dalam tempoh tidak sampai 2 tahun memerintah beberapa negeri. Mampukah kerajaan Selangor dan Kedah pimpinan pakatan rakyat bertahan sehingga pilihanraya umum akan datang?
Kini, ramai yang mempertikaikan PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tempiasnya turut dirasai pakatan rakyat (PAS dan DAP) lebih-lebih lagi dengan tumbangnya kerajaan PR di Perak. PKR harus memikirkan langkah bagi mengatasi masalah ini.
Lebih-lebih lagi untuk memilih calon yang terdiri daripada melayu islam, PKR sepatutnya memilih calon yang ‘tidak melakukan dosa besar dan tidak mengamalkan dosa kecil’ selain kelulusan akademik dan pengaruh sebagai penilaian.
Apa yang berlaku kini memberi pengajaran kepada PKR untuk lebih berhati-hati memilih pemimpin yang benar-benar berjiwa pejuang pada pilihanraya akan datang.

Kenapa Ganesan Berlembut?

Semuanya menjadi huru hara. Satu persidangan haram, satu persidangan halal. Satu lulus bajet 2010, satu lagi lulus 3 usul.
Kumpulan yang ini dilindungi, kumpulan satu lagi dikasari. Satu speaker di tempat duduk speaker, lagi satu speaker di tempat duduk adun.
Satu jubah cantik & kemas, satu lagi jubah koyak rabak. Songkok Ganesan kemas dipakai, songkok Sivakumar polis nak pakai.
Sidang Dun Perak jadi pasar borong. Ada yang terpekik terlolong, ada yang berjalan-jalan macam nak beli ikan. Konon-konon adun PR tak senonoh tak beradap.
Tapi tidakkah pelik, kalau benar Ganesan rasa beliau speaker yang sah, kenapa beliau tak gunakan kuasanya untuk ambil tindakan kepada adun-adun PR yang kononnya tidak hormati dun?
Sekurang-kurangnya menggantung beberapa adun PR daripada menghadiri sidang dun. Kenapa Ganesan berlembut sangat?

Selasa, Oktober 27, 2009

Bukti Tuan Guru Terbuka

Kesudian Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk turun menyaksikan perlawanan separuh akhir bola sepak Piala Malaysia malam ini menunjukkan bahawa beliau dan kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS bukanlah bersifat jumud dan anti sosial seperti yang digambarkan oleh Umno/BN selama ini.
Tanpa sedikit pun perasaan iri hati walaupun Persatuan Bola Sepak Kelantan yang berjaya melangkah ke Separuh Akhir Piala Malaysia adalah dipimpin oleh orang kuat Umno Kelantan iaitu Tan Sri Annuar Musa, Tuan Guru dan beberapa exco kerajaan negeri akan hadir malam ini bagi memberikan sokongan kepada pasukan bola sepak Kelantan.
Semoga pasukan Kelantan akan menang dengan keputusan selesa pada malam ini untuk bekalan ke separuh akhir ke-2 di Perlis nanti.

Tuan Guru Tonton Bola Sepak Malam Ini

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dijangka akan menyaksikan perlawanan bola sepak separuh akhir pertama antara Kelantan dan Perlis malam ini.
Menteri Besar itu berkata, beliau bersama beberapa orang anggota exco kerajaan negeri disamping Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan bola sepak Red Warrios itu sebagai menuju ke perlawan akhir merebut Piala Malaysia.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang Dun Kelantan berakhir petang semalam sebagai menyambut pelawaan dari Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika menggulung perbahasan ucapan Belanjawan 2010 di Dewan Undangan Negeri Kelantan yang keduabelas semalam.
Menurutnya, Anuar menjemput Menteri Besar termasuk anggota-anggota exco kerajaan negeri disamping Adun mengikuti perlawanan separuh akhir bola sepak itu bagi memberi semangat kepada pasukan supaya dapat beraksi hingga ke peringkat akhir.
Kelantan mara ke peringkat separuh akhir malam esok untuk menentang Perlis bagi merebut Piala Malaysia.
Mereka melangkah ke perlawanan separuh akhir selepas menang bergaya 3-0 ke atas KL Plus.
Dengan keputusan itu Kelantan mara dengan agregat 4-1 selepas seri 1-1 di Cheras, Selasa lalu
"Sekiranya Kelantan berjaya memenangi pertandingan itu, pasukan kita bakal berhadapan dengan Negeri Sembilan atau Terengganu untuk berentap di peringkat akhir,"ujarnya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Anuar Musa kerana telah berjaya menjadikan pasukan berkenaan begitu hebat hingga mampu bersaing di peringkat suku akhir.

Isnin, Oktober 26, 2009

Yang Tumbuk Terlepas, Kereta Terbakar Didiamkan


Ahli Parlimen Batu, YB Tian Chua didapati bersalah kerana mencederakan seorang anggota polis ketika ditangkap semasa beliau ingin menuju ke Parlimen dalam satu perhimpunan Bersih bagi menyerahkan memorandum di parlimen.
Yang menghairankan, polis yang menumbuk Tian Chua (jelas dalam video) tidak dikenakan tindakan, tetapi Tian Chua dijatuhi hukuman kononnya mendatangkan kecederaan dengan menggigit tangan polis tersebut walaupun tiada bukti jelas dalam bentuk rakaman.
Harus diingat, dalam kes tersebut kereta kepunyaan seorang ahli PKR, Abdul Razak Ismail yang menjadi pemandu Tian Chua telah terbakar dalam jagaan polis selepas Tian Chua dan Razak ditahan.
Tian Chua dijatuhi hukuman penjara 6 bulan dan denda rm3000. Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman untuk membolehkan Tian Chua memfailkan rayuan. Jika semua rayuannya ditolak, maka Tian Chua akan hilang kelayakannya sebagai ahli parlimen.

Rabu, Oktober 21, 2009

Dun Perak Akan Dibubarkan

Rancangan Hujah di TV9 sebentar tadi yang menampilkan Datuk Seri Dr Zamri Kadir (Menteri Besar Perak) sebagai tetamu jemputan sedikit sebanyak memberi gambaran kemungkinan akan berlaku pilihanraya di Perak.
Pengacara rancangan tersebut, Prof. Dr. Agus apabila bertanya soalan terakhirnya di penghujung rancangan kepada Dr. Zamri adakah kemungkinan akan berlaku pembubaran dun, Dr. Zamri hanya menjawab itu adalah perkara yang berlainan dan pembubaran dun akan berlaku apabila mendapat arahan daripada atasan.
Yang menjadi tanda tanya, kenapa Dr. Zamri tidak menafikan bahawa tidak akan berlaku pembubaran dun sedangkan sebelum ini BN acap kali menafikan akan berlaku pembubaran dun Perak?
Ini sedikit sebanyak memberi signal kepada Pakatan Rakyat untuk bersiap sedia bagi menghadapi pilihanraya semula di Perak.

Ahad, Oktober 18, 2009

Open House PAS Putrajaya Meriah

Jumaat lepas, saya berkesempatan untuk hadir ke rumah terbuka PAS Putrajaya di pejabat PAS Putrajaya yang terletak di Presint Diplomatik. Hadir dalam jam 6 petang, jamuan yang diadakan di kaki lima rumah kedai tersebut berjaya menarik perhatian orang ramai.
Juadah yang disediakan seperti laksa kedah, soto, sate, ketupat, kuah kacang, rendang daging, lemang dan ketupat daun palas cukup untuk membuka selera hadirin yang rata-ratanya baru pulang dari kerja.
Ikhlasnya, rendang,lemang dan kuah kacang yang dihidangkan amat enak dan lazat pada saya. Saya berbisik pada rakan, "lemang ni sedap,terasa lemaknya. Rendang ni pun sedap, jarang jumpa rendang sedap macam ni". Beliau menjawab, "duit halal, memanglah sedap".
Majlis tersebut berjaya menarik beberapa hadirin bukan melayu yang turut sama menyantap juadah yang terhidang. Turut kelihatan beberapa orang Bangladesh yang mungkin bekerja berhampiran Pejabat PAS Putrajaya.
Mungkin keadaan akan lebih meriah dan menarik perhatian orang ramai jika pihak penganjur memasang lagu raya untuk menambahkan suasana raya pada majlis tersebut. Semoga majlis-majlis sedemikian akan dapat diadakan saban tahun sekaligus memberi imej positif kepada rakyat.

Khamis, Oktober 15, 2009

Pelancong Politik Lebih Ramai Dari Petugas

Tulisan terbaru dalam blog Ketua Pemuda PAS ada menyebut bahawa beliau terpaksa mengarahkan pemuda PAS untuk hadir ke Bagan Pinang bagi meningkatkan kawalan keselamatan setelah provokasi Umno besar-besaran yang jelas mengancam keselamatan petugas parti.
Tindakan ini terpaksa dilakukan kerana beliau melihat kebanyakan yang hadir di Bagan Pinang hanyalah pelancong politik yang hanya memeriahkan gerai jualan dan ceramah-ceramah dan bukanlah untuk bertugas.
Saya juga adalah tergolong dalam golongan pelancong politik, yang sekadar hadir pada hari penamaan calon untuk bersorak dan hadir pada hari pembuangan undi untuk melihat keadaan sambil-sambil makan jambu dan melihat anak ketam di tepi pantai Port Dickson bersama isteri. Itu pun terpaksa merasuah isteri dengan bawa bershopping di Nilai 3. Jika tidak, mungkin tak sampai ke Bagan Pinang.
Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah, negeri-negeri tidak mengerahkan ahli-ahli untuk bertugas secara serius. Cawangan-cawangan tidak diarahkan untuk menghantar wakil (mungkin tidak semua). Kawasan-kawasan pula tidak mengambil inisiatif menggalakkan ahli untuk bertugas. Ada juga berlaku apabila ahli-ahli hadir dengan rela hati, tetapi tidak dapat mendaftar diri sebagai petugas kerana markas penuh dan tiada tempat tidur.
Ini semua sebahagian kecil yang membantutkan usaha bagi menjadi petugas parti. Parti seharusnya mengambil langkah yang lebih berkesan selepas ini agar masalah-masalah kekurangan petugas dapat diatasi. Gerak kerja berkempen juga perlu dibaiki. Ceramah berkelompok, mendekati penyokong Umno dan atas pagar, beramah mesra dengan penduduk perlu dipertingkatkan. Ianya lebih baik daripada kita memusuhi penyokong Umno, kerana kita mahukan undi mereka untuk memenangkan Pakatan Rakyat.

PR Harus Muhasabah Diri


Keputusan pilihanraya kecil dun Bagan Pinang memperlihatkan Umno/BN mencapai keputusan yang mengejutkan, yang pasti tidak dijangka oleh Umno/BN untuk menang begitu besar dan mungkin tidak pernah terfikir Pakatan Rakyat untuk kecundang sebegitu teruk. Tetapi ikhlasnya, dari awal lagi saya telah menjangkakan yang PAS akan kecundang dengan majoroti yang lebih besar dari tahun 2008, tetapi tidak menjangkakan sehingga majoriti melebihi 5 ribu undi.
Bersandarkan pilihanraya kecil (PRK) sejak kebelakangan ini iaitu PRK Penanti di mana undi PKR menurun, PRK Manik Urai yang mana PAS menang nyawa-nyawa ikan, dan PRK Permatang Pasir yang mana majoroti PAS menurun, serta pembebasan pemimpin-pemimpin Hindraf dan tertubuhnya Parti Makkal Sakhti, Pakatan Rakyat seharusnya sedar bahawa sokongan rakyat terutama bukan melayu sedikit sebanyak akan berkurangan dan beralih kepada BN.
Pakatan Rakyat tidak seharusnya yakin bahawa sokongan rakyat akan kekal memandangkan sekarang ini Perdana Menteri yang baru Datuk Seri Najib Razak tidak selemah dan sebodoh Pak Lah. Dan perbalahan secara terbuka antara pemimpin Pakatan Rakyat berjaya dimanipulasi oleh media yang sekaligus memberikan imej yang buruk kepada rakyat.
PAS juga tidak sepatutnya meletakkan pesuruhjaya PAS N.Sembilan sebagai calon Bagan Pinang jika dari awal menjangkakan PAS sukar untuk menang lebih-lebih lagi tiada isu besar yang dapat mempengaruhi pengundi untuk menolak BN. Sepatutnya PAS meletakkan anak tempatan sebagai calon walaupun mungkin tiada nama, tetapi sekurang-kurangnya lebih baik daripada mempertaruhkan nasib Pesuruhjaya Negeri di tempat yang tak mungkin menang.
Sebelum ini saya pernah menulis bahawa perjuangan BERSIH seharusnya diteruskan dimana sekarang ini kita melihat perjuangan Bersih tidak lagi menjadi keutamaan setelah ramai pemimpin Pakatan Rakyat bergelar YB setelah menang dengan cemerlang dalam Pilihanraya Umum 2008. Tetapi di Bagan Pinang, Pemuda PAS dan Pakatan Rakyat tiba-tiba sahaja terkial-kial bertemu SPR untuk membantah undi pos kerana tahu yang PAS sukar menang memandangkan undi pos yang begitu besar. Kenapa di Bagan Pinang baru hendak bersuara tentang undi pos? Kenapa selepas PRU 2008, PR tidak terus perjuangkan matlamat Bersih di mana salah satu tuntutan Bersih ialah memansuhkan undi pos?
Pakatan Rakyat seharusnya meneliti setiap kelemahan dan membaikinya, serta merapatkan kerjasama antara parti, dan cuba sedaya mungkin menutup perbalahan melalui media. Dan yang paling penting, Pakatan Rakyat harus berusaha menarik semula sokongan bukan melayu yang kini sedikit sebanyak telah lari kepada BN, dan amat penting adalah dengan menarik sokongan melayu yang sehingga hari ini masih tidak mengalami peningkatan selepas PRU 2008. Itupun jika tidak mahu sejarah 2004 berulang kembali, tatkala di masa itu Barisan Alternatif yakin untuk memerintah Malaysia.

Pengundi Bagan Pinang Pilih Perasuah

Pengundi Bagan Pinang akhirnya membuat keputusan dengan menaikkan Tan Sri Isa Samad sebagai wakil rakyat dengan memberi kemenangan besar kepada calon BN itu.
Isa Samad memperolehi undi sebanyak 8013, jauh meninggalkan calon PAS dengan undi 2578, iaitu majoriti sebanyak 5435.
Yang menjadi pelik, Isa yang pernah dijatuhi hukuman oleh Umno kerana politik wang, masih diterima oleh pengundi Bagan Pinang. Tidakkah mereka sedar mereka mempertaruhkan amanah kepada seorang yang jelas tidak berakhlak dan tidak bermoral?
Mungkin masih boleh diterima jika calon BN yang menang terdiri daripada calon yang bersih, tetapi seorang yang sanggup merasuah rakan seperjuangan (Umno) semata-mata inginkan pangkat, logikkah orang seperti ini akan amanah dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat?
Adakah Isa mengejar pangkat dalam Umno sehingga sanggup merasuah rakan seperjuangan itu kerana mahu membela melayu? Kalau ikhlas nak bela melayu, tak kan sampai rasuah untuk dapat pangkat? Tak kan ini semua tak dapat dilihat dan dinilai oleh pengundi Bagan Pinang?
Begitu juga dengan tentera, yang mengundi calon rasuah Isa Samad, adakah tentera-tentera ini dapat diharapkan untuk mempertahankan tanahair sekiranya negara kita diceroboh? Untuk memilih pemimpin berakhlak pun tak boleh dan tak reti, masakan boleh diharap untuk mempertahankan negara? Mungkin tentera-tentera ini akan tergadai jika diberi gula-gula oleh musuh.

Ahad, Oktober 04, 2009

Shahruddin:Kesilapan Teknikal Atau Menyesal?


Hasrat Shahruddin Abdul Hamid untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, tidak kesampaian. Beliau keluar dari pusat penamaan calon selepas mendapati pencadangnya bukan dari Bagan Pinang.
Semasa meninggalkan dewan itu, Shahruddin memberitahu pemberita yang beliau sedang mencari seorang pencadang dari kawasan DUN itu untuk menyokong pencalonannya. Shahruddin tidak muncul lagi selepas itu.
Shahruddin menyifatkan kegagalannya itu sebagai "kesilapan teknikal". Shahruddin yang mesra dengan panggilan "Capt" berkata SPR menolak kertas pencalonannya kerana pencadang beliau, Ros Hamdan, bukannya pengundi DUN itu.
Shahruddin yang pernah bekerja dalam industri perkapalan, tiba di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson jam 9.10 pagi, sebelum beredar dari dewan itu kira-kira 20 minit kemudian.Bekas ahli PKR itu berkata beliau berjaya mencari pencadang gantian tetapi gagal mencari pejabat pesuruhjaya sumpah untuk mengesahkan borang itu."Semua pejabat pesuruhjaya sumpah di sini tutup. Saya minta maaf kepada penyokong saya," katanya yang mana Jumaat lepas mengisytiharkan keluar PKR selepas berkeras untuk bertanding.
Ada yang mengatakan beliau sengaja melakukan kesilapan tersebut bagi memberi laluan kepada PAS dan BN untuk bertanding satu lawan satu. Ini kerana masakan beliau tidak tahu bahawa pencadang dan penyokong calon mestilah pengundi di Dun yang diadakan pilihanraya. Dengan kata lain beliau sengaja melakukan kesilapan mudah tersebut bagi memberi laluan kepada PAS dan BN.
Ada pihak yang mengatakan beliau ditaja untuk bertanding atas tiket bebas bagi memecahkan undi, tetapi merasa bersalah di saat-saat akhir dan sengaja melakukan kesilapan tersebut supaya penyertaannya ditolak oleh SPR.

Solat Hajat Demi Kemenangan PR/PAS

Seluruh ahli dan penyokong Pakatan Rakyat yang beragama Islam diseru untuk menunaikan solat hajat setiap hari mulai sekarang sehingga hari pembuangan undi pada 11 ogos 2009 ini bagi memastikan kemenangan PAS/PR pada pilihanraya kecil dun Bagan Pinang.
Selain kerja keras yang dilakukan bagi berkempen, kita sepatutnya memohon kepada Allah agar dibukakan pintu hati pengundi Bagan Pinang untuk mengundi PAS yang sudah tentu calonnya adalah bersih dan berakhlak, serta memohon agar dijahanamkan setiap tipu helah BN dan SPR untuk mengalahkan PAS.

PR Menang Pusingan Pertama


Proses penamaan calon bagi Pilihanraya Kecil Dun Bagan Pinang semalam memperlihatkan kerjasama erat dan semangat yang kuat Pakatan Rakyat apabila kehadiran penyokong PR semalam 3 kali ganda melebihi penyokong Barisan Nasional.
Barisan Nasional pula dibidas apabila tindakan mereka yang menggunakan pelajar sekolah yang diberi upah untuk meramaikan penyokong BN. Kelihatan beberapa buah bas yang membawa penuh remaja-remaja yang masih bersekolah menengah yang memakai baju Umno dan Barisan Nasional. Dikhabarkan mereka menerima upah sebanyak rm50-rm100 seorang, mengikut bahagian masing-masing.
Ini menunjukkan, bahawa Umno dan ahlinya lebih mementingkan ganjaran daripada semangat untuk memenangkan parti mereka, walaupun Dun Bagan Pinang adalah merupakan kawasan kuat bagi BN. Berbeza dengan penyokong Pakatan Rakyat yang mengeluarkan belanja sendiri untuk berjuang, walaupun mengetahui amat sukar untuk memenanginya.