Rabu, Februari 24, 2010

IIM Perlu Lakukan Survey Semula

Baru-baru ini sahabat saya (kakitangan kerajaan) telah menyertai satu kursus yang mana salah satu ceramah dalam kursus tersebut telah disampaikan oleh wakil dari Institut Integriti Malaysia (IIM).
Dan apabila penceramah tersebut bertanya kepada peserta ‘siapakah yang paling TIDAK dipercayai di Malaysia?’ , rata-rata peserta yang terdiri daripada pegawai kerajaan spontan menjawab ‘hakim!’.
Apabila penceramah tersebut memaparkan survey yang dibuat oleh IIM beberapa tahun yang lepas kepada peserta, ‘hakim’ adalah yang ke-5 yang PALING DIPERCAYAI dan antara yang PALING TIDAK DIPERCAYAI adalah ‘menteri’, ‘ketua perniagaan’ dan ‘ahli politik’.
IIM perlu melakukan survey semula dan saya yakin jika survey dilakukan semula sudah tentu 'hakim' akan tersenarai antara 3 yang paling tidak dipercayai di Malaysia.
Ini jelas kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara terjejas teruk lebih-lebih lagi kes ‘siapa menteri besar Perak yang sah’ dan kes ‘liwat Datuk Seri Anwar’ yang mutakhir ini memberikan persepsi yang sangat buruk terhadap kehakiman negara.

Jumaat, Februari 12, 2010

Kalau Cina Tiada, Melaka Jadi Bandar Hantu?

Saya teringat kata-kata kawan saya tahun lepas. Secara berseloroh dia berkata, “kalau cina tak ada, aku ingat Melaka ni jadi bandar hantu”. Beliau cakap begini susulan kesusahan beliau nak beli sedikit barang dapur di kedai runcit pada hari kedua tahun baru cina tahun lepas.
Natijahnya, pada hari pertama dan hari kedua tahun baru cina, kita akan lihat rumah kedai, bandar, dan pekan sunyi sepi. Tunggu saja pada hari ahad dan isnin ini, rumah kedai di Taman Merdeka, di Air Keroh, di Bukit Baru, akan sepi daripada hari biasa.
Itu belum ambil kira beberapa pasaraya (bukan hyper) yang akan ditutup sekurang-kurangnya dua hari, pasti akan menyukarkan rakyat yang ingin membeli belah.
Pasar-pasar kecil juga kurang meriah daripada beberapa penjual ikan dan sayur, begitu juga dengan pasar malam kerana ramai para penjualnya berbangsa cina.
Kenapa timbulnya keadaan ini? Mana peniaga-peniaga melayu? Ada, tapi banyak mana? Kalau banyak peniaga melayu, pekan dan rumah kedai tak akan jadi sunyi disebabkan perayaan tahun baru cina.
Keadaan ini bagi menjawab yang mana kerajaan BN yang dikepalai oleh Umno selama lebih 50 tahun memerintah Malaysia telah gagal dalam konteks memajukan orang melayu sekurang-kurangnya perniagaan runcit.

Rabu, Februari 10, 2010

Dakwaan Zulkifli Nordin Tak Berasas

Dakwaan Zulkifli Nordin yang juga ahli parlimen Kulim Bandar Bahru daripada PKR bahawa tindakan Jamaluddin Radzi dan Osman Jailu melompat parti menjadi adun bebas yang mesra BN adalah kerana rasa tidak puas hati terhadap pimpinan DAP tidak berasas sama sekali.
Zulkifli juga mendakwa bahawa tindakan adun Lunas yang juga merupakan bekas exco kerajaan PR Kedah Mohd Radzi Salleh keluar PKR dan menjadi adun bebas yang mesra BN juga kerana tidak puas hati terhadap wakil tunggal adun DAP di Kedah.
Selain itu Zulkifli juga mendakwa perletakan jawatan Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan adun Penanti juga disebabkan tekanan hebat daripada DAP pimpinan Lim Guan Eng.
Dakwaan dan tuduhan Zulkifli itu dibuat dalam program ‘Soal Jawab’ yang disiarkan di TV3 jam 10malam Isnin lepas sebagai menjawab soalan daripada ‘hos’ program tentang masalah yang melanda Pulau Pinang sekarang.
Jika benar adun-adun PKR ini tidak puas hati dengan DAP, amat tidak rasional mereka melompat menjadi adun bebas yang mesra BN dan amat tidak munasabah Fairus Khairudin meletakkan jawatan sebagai adun walaupun mungkin dilihat munasabah jika beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 tetapi kekal sebagai adun Penanti.
Sepatutnya, jika ada yang tidak puas hati antara kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, perbincangan harus dilakukan dengan berlapang dada.
Tindakan beliau yang menyerang Pakatan Rakyat khasnya DAP dalam rancangan tersebut amat-amat dikesali lebih-lebih lagi beliau langsung tidak menyerang kerajaan BN yang mana telah melakukan pelbagai tindakan keji untuk memporak porandakan Pakatan Rakyat sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Selasa, Februari 09, 2010

Sogok RM20 Ke 1 Malaysia Gegau Melaka

Seorang pelajar tingkatan 4 mendedahkan Umno cawangan taman perumahan beliau menjanjikan rm20 kepada sesiapa yang turut serta ke program 1 Malaysia Gegau Melaka di Pantai Klebang pada 4 febuari yang lepas. Pihak Umno cawangan juga turut menyediakan bas tanpa mengenakan bayaran.
Namun sehingga semalam, wang rm20 yang dijanjikan masih belum diterima. Beliau yang mendakwa pada peringkat awalnya tidak mengetahui akan diberikan rm20 jika turut serta dalam program tersebut hanya dimaklumkan rakan beliau dan beliau terus memberi nama kepada Ketua Umno cawangan.
Difahamkan bas tersebut hanya dipenuhi dengan pelajar sekolah, dan di tempat program mereka hanya sempat makan serta tidak sempat menunggu cabutan bertuah kerana terpaksa pulang awal memandangkan pada keesokan harinya adalah hari persekolahan.
Seorang pemuda yang tinggal di taman perumahan yang sama mendakwa kawan beliau yang juga anak ketua wanita Umno cawangan tersebut menawarkan rm5 kepada beliau jika bersetuju hendak pergi ke program Gegau tersebut.
Bagaimanapun, beliau yang juga penyokong kuat PAS menolak tawaran tersebut. Beliau juga mempertikaikan kenapa hanya rm5 yang ditawarkan sedangkan yang lain menerima rm20 daripada Umno cawangan.
Ini menunjukkan Umno memang tak boleh lari dari sifat rasuah, menyeleweng, korup dan lanun. Program yang menyediakan makan minum, cabutan bertuah, persembahan tari menari, masih nak disediakan bas dan sogokan duit semata-mata nak capai sasaran 50ribu hadirin.

Rabu, Februari 03, 2010

Pilihanraya Perak Sama Tarikh Pilihanraya Sarawak?

Jika keputusan mahkamah pada 09 Febuari ini memihak kepada Ir. Nizar dalam kes ‘siapa MB Perak yang sah?’, dan Sultan perkenan untuk dibubarkan dun Perak, kemungkinan besar SPR dan BN akan merancang supaya pilihanraya negeri Perak akan seiring pilihanraya negeri Sarawak.
Tindakan tersebut adalah bagi memecahkan kekuatan Pakatan Rakyat dimana kekuatan PKR dan DAP di semenanjung akan berpecah bagi membantu PR di Sarawak dan PR di Perak.
Ini memandangkan PKR dan DAP adalah merupakan parti pembangkang yang berpotensi di Sarawak, tetapi jentera PKR dan DAP di Sarawak masih jauh lebih lemah jika dibandingkan dengan BN. Akibatnya kekuatan PKR dan DAP di semenanjung akan berkurangan untuk membantu PR di Perak.
PAS juga akan menghadapi masalah serupa kerana sudah tentu jentera PAS di semenanjung akan turun membantu di Sarawak jika PAS bertanding di Sarawak walaupun satu kerusi. Dalam masa yang sama tumpuan harus diberikan di Perak yang mana PAS akan bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi dun.
BN pula yang cukup jentera serba serbi dan sikap azali SPR yang condong kepada BN dilihat tidak akan menghadapi masalah besar jika pilihanraya Sarawak dan Perak dijalankan seiring dan sudah tentu memberi kelebihan yang sangat besar untuk BN menang besar di Sarawak dan menang bergaya di Perak.

Implikasi Negatif Lagu Halimah Jongang

Sekali dengar memang kelakar. Lagu Halimah Jongang kini menjadi siulan nakal kanak-kanak dan anak-anak muda, juga segelintir golongan dewasa dan tua yang tak reti bahasa. Tetapi lagu tersebut kini kerap menjadi mainan dan ejekan kanak-kanak terhadap mereka yang bergigi jongang.
Walaupun lagu tersebut dinyanyikan dalam bentuk lawak, tetapi implikasinya terhadap penonton amat besar. Tak pasal-pasal mereka yang bergigi jongang berpotensi untuk diusik. Mereka yang bernama Halimah walaupun tak jongang pun berkemungkinan dipermainkan.
Lagu Halimah Jongang adalah ciptaan Eddie Hamid dan dinyanyikan oleh beliau sendiri, yang mana liriknya telah diubah kerana asalnya lagu tersebut adalah bertajuk Marshella yang dinyanyikan oleh Renggo Arrow (kini menjadi ahli PAS).
Apapun, kita harus ingat gigi jongang adalah merupakan anugerah Allah swt. Menghina dan mengejek mereka yang bergigi jongang, samalah seperti menghina dan mengejek ciptaan Allah.

Kempen Zamry Tak Dapat Sambutan, 4 Ekor Lembu Tak Habis

Hujung minggu lepas dalam 1 program yang dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zamry Kadir di Grik disifatkan tidak berjaya apabila hadirin yang hadir hanyalah kroni dan penyokong tegar.
Akibatnya, lembu sebanyak 4 ekor yang ditumbangkan untuk jamuan majlis tersebut dibazirkan begitu sahaja. Bukan itu sahaja, nasi juga tidak diusik beberapa kawah. Kesudahan nasi dan lauk yang begitu banyak berlebihan itu, tak dapat dipastikan samada dibuang atau tindakan lain.
Sumber yang kebetulan pulang bercuti di kampung halamannya memberitahu, rakyat di tempat tersebut berang dengan seseorang pemimpin BN di situ disebabkan sesuatu hal. Hal tersebut tak dapat saya tuliskan memandangkan ianya adalah berkaitan dengan sensitiviti.
Tetapi menurut sumber, daripada situasi dan emosi semasa jika diadakan pilihanraya semula, Grik yakin akan dimenangi oleh PR.
Samada cerita dari sumber betul atau tidak, tak dapat saya pastikan.

Selasa, Februari 02, 2010

Cabaran Zamry Bodoh Bedengung

Tindakan Datuk Seri Dr. Zamry Kadir mencabar Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin dan 27 lagi kerusi dun perak dari pembangkang meletak jawatan bagi diadakan semula pilihanraya kecil dilihat sebagai cabaran yang tak masuk akal dan bodoh bedengung.
Jika Ir. Nizar dan 27 lagi adun pembangkang di Perak mengosongkan kerusi dan diadakan pilihanraya semula, dan jika pembangkang menang kesemua kerusi tersebut sekalipun, keadaan tetap tidak berubah dimana BN akan tetap memerintah Perak dengan kelebihan 2 kerusi.
Ini belum dilihat dari sudut undang-undang pilihanraya dimana seseorang yang meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat tidak akan dibenarkan bertanding semula dalam tempoh 5 tahun, oleh itu mana mungkin adun pembangkang akan bertindak sedemikian.
Sepatutnya Zamry harus berlapang dada untuk memohon perkenan Sultan membubarkan dun jika hendak diukur sokongan rakyat Perak terhadap BN dan jika benar Zamry bukan pengecut.
Cabaran Zamry tersebut dilihat sebagai tindakan tidak matang dan menampakkan ketidak cerdikan beliau dalam mengeluarkan kenyataan yang semberono.