Jumaat, Julai 30, 2010

Bagi Penyapu Kemudian Disapu


Dulu dia bagi penyapu, PRU-12 rakyat sapu dia...

Khamis, Julai 29, 2010

Pendirian PAS?

YB Kulasegaran dari DAP yang mewakili Indira Ghandi, 35, dalam kes permohonan untuk membatalkan sijil penukaran agama Islam tiga anaknya.

Selasa, Julai 27, 2010

Benar Guru Berpolitik Hanya Menguntungkan BN

Mungkin ramai yang menyambut baik tindakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dimana bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik.
Sebelum ini, golongan tersebut tidak dibenarkan berpolitik kecuali Kumpulan Sokongan dengan syarat terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian.
Namun peraturan terbaru yang membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 berpolitik yang diumumkan KSN tadi masih perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.
Dengan kata lain, rasionalnya hanya mereka yang hendak aktif Umno/BN sahaja yang akan diberi kebenaran.
Mana mungkin Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran akan memberi kebenaran kepada mereka yang nak memegang jawatan (aktif) dalam parti pembangkang (Pakatan Rakyat).
Kakitangan perkhidmatan awam semestinya jelas dengan peraturan ini yang sememangnya menguntungkan Umno/BN memandangkan peraturan serupa digunapakai bagi kumpulan sokongan sebelum ini.

Ke mana pergi subsidi kami?

kalian rampas subsidi kami,
entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu,
wang mesti dicatu,
kita menuju maju...
kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara...
kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja...
kami orang desa,
mungkin tidak pandai kira berjuta-juta...
kami orang kecil kota,
mungkin tiada sedemikian harta...
jika kalian tipu sebegitu,
biasanya kami diam selalu...
tapi dapatkah kami dibohongi,
tentang suapan saban hari?
apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?
papa semakin parah?
wang semakin lelah?
jika semalam berlauk,
hari cuma berkuah...
kerana kerajaan kita sedang susah?
maka subsidi kita terpaksa diserah...
jika semalam kau makan sepinggan,
hari ini saparuh
kerana barang makin angkuh,
wang papa makin rapuh...
apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah?
makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang...
jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi...
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..
atau kami jadi insan curang...
kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?
tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang...
dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami...
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati...
kami yang semput bagai melukut di kota kedekut
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa,
menghitung setiap belanja
pernahkah kau merasa?
rumah bocor yang lanjut usia...
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak-asak
siang kami sebak,
malam kami sesak...
sedangkan kalian manusia angkasa...
istana permata dibina,
kereta berjuta dirasa...
elaun di serata,
dari isteri sehingga seluruh keluarga...
hidangan istimewa,
konon meraya kemakmuran negara...
tapi kami masih di sini..
di teratak ini...
dengan lauk semalam..
dengan hidangan yang tidak bertalam...
dengan rumah yang suram...
dengan wang yang hampir padam...
tiada istana lawa...
tiada kereta berharga...
tiada layanan diraja..
tiada baju bergaya
tiada kediaman menteri...
tiada hidangan vip...
tiada persen di sana-sini...
tiada bahagian anak dan bini...
tiba-tiba kalian kata: kamilah beban negara...
aduhai celaka bahasa yang kalian guna...
kalian yang belasah, kami yang bersalah...
kalian buat untung, hutang kami tanggung...
kalian mewah melimpah, kami susah parah
kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang...
kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa...
kalian makan isi, kami dijadikan abdi...
lantas, kalian rampas lagi subsidi...
ke mana wang itu pergi nanti?
jika kalian berhati suci, wajib mengganti buat kami...
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga?
jika tidak untuk minyak kereta...
mengapa tambang tidak potong sahaja...
tapi entah berapa kali janji...
konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti...
hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi...
kami terus termanggu di sini...
kalian juga yang nikmati...
kami hanya menggigit jari...
kembalikanlah kepada kami harta negara...
jangan hanya kalian sahaja yang merasa...
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ali Rustam Banyak Idea Merapu......

Terkejut rakyat melaka apbila diberitakan ketua Menterinya mencadangkan agar ditubuhkan sekolah untuk perempuan yang mengandung secara haram. 2 hari lepas dikritik hebat oleh Dr. Fuad Zarkashi tim. menteri pelajaran kata cadangan KM melaka sebagai pelik dan tak rasional langsung. Itu bukan pendekatan yang positif bagi seorang pemimpin Melayu Islam.
Saya dah kata dulu, KM Melaka ni memang banyak idea pelik dan merapu. Kekadang orang UMNO pun malu ..... Dulu beliau pernah mencadangkan agar ditubuhkan sekolah beruk untuk jadikan distinasi pelancongan. Saya pun tak tahu beruk mana yang berkenan kat beliau...... khabarnya beruk yang ada pun nak lari.


Lepas tu nak buat stadio perfileman bollywood, sampai sanggup anugerah Shah Rukh Khan ' Datuk '. Tapi sampai sekarang satu pelakon India pun tak nak datang.... saya cadang amik Samy Velu dan pemimpin MIC aja belakon... sama juga ! Dulu ada juga cadang nak buat replika Kaabah dekat masjid negeri, tapi dapat bantahan daripada Arab Saudi. saya tak tahu lepas ni apa pula idea gila lagi yang timbul....... kita tunggu dan lihat.
Ustaz Kamarudin Sidek
Ketua Pemuda PAS Melaka

Isnin, Julai 26, 2010

Beranikah Raja Sesumpah Berdebat?

Kini Ezam Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai ‘Raja Sesumpah’ kian menunjukkan taringnya.
Semenjak bergelar Senator, peranannya semakin kerap diguna pakai oleh Umno untuk menghentam DSAI dan PKR khasnya.
Beliau kini diberi ruang sebagai penggerak utama dalam program Umno Selangor menerusi program ‘Selamatkan Selangor’.
Pastinya fitnah akan ditabur disetiap ceramah beliau.
Orang kata kalau bercakap guna air liur tak kena bayar, tapi air liur Ezam mungkin dibayar mahal.
Cakap memang mudah, menuduh memang senang, tapi saya yakin beliau hanya berani berkokok dalam kandang sendiri.
Cuba kalau PR ajak berdebat, mungkin beliau akan jadi pengecut macam Ahmad Maslan…

Murid Darjah 2 Main Rogol-rogol

Saya agak terkejut apabila rakan isteri saya (Zu) menceritakan ada kes pelajar sekolah rendah darjah 2 (berumur 8 tahun) di sekolah beliau mengajar pernah melakukan persetubuhan.
Cerita ini terbongkar apabila pelajar perempuan (juga darjah 2) mengadu pada seorang guru bahawa kemaluan beliau sakit kerana melakukan persetubuhan dengan seorang pelajar lelaki (darjah 2).
Namun kerana nak jaga nama baik sekolah, saya difahamkan kes ini ditutup dan pihak sekolah tidak memaklumkan kepada ibu bapa pelajar berkenaan.
Setelah disiasat, pelajar lelaki berkenaan mengatakan bahawa beliau melakukan persetubuhan kerana terpengaruh dengan video lucah yang ditonton di rumah.
Beliau sendiri tidak tahu bahawa perlakuan tersebut adalah salah dan haram.
Apa nak jadi dengan negara kita ini?

Khamis, Julai 22, 2010

Harga Makanan Dah Mula Naik

Terkejut bila nasi sup yang saya biasa beli dah naik harga 50sen.
Rata-rata makanan tengah hari di café tempat saya bekerja naik harga sekitar 20sen ke 80sen.
Ramai yang merungut dengan kenaikan harga makanan, tapi tak ada pilihan.
Kena kerap bawa bekal lepas ni…

Selasa, Julai 20, 2010

PR S'wak Sepakat 1 Lawan 1

Majlis Pakatan Rakyat Sarawak yang baru ditubuhkan pada dasarnya bersetuju mereka akan berdepan satu lawan satu ketika menentang BN pada pilihan raya negeri akan datang.
Majlis 20 anggota itu diwakili oleh lima anggota dari setiap parti komponen Pakatan, iaitu - DAP, PKR, PAS dan Snap.
Antara mereka yang menggotai majlis itu adalah Chong Chien Jien dan Wong Ho Leng, dari DAP dan wakil PKR, Baru Bian.
Ia berikutan pengumuman Pakatan Rakyat bahawa jentera pilihan rayanya akan diaktifkan bagi menghadapi pilihan raya mengejut khususnya di Sarawak.
“Kami percaya pilihan raya negeri tidak lama lagi,” kata timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali yang senada dengan apa yang diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.
Pakatan telah membuat persiapan di Sarawak kerana pilihan raya negeri itu mesti diadakan selewat-lewatnya sebelum Julai tahun depan.
Syed Husin menghadiri mesyuarat sulung Pakatan Rakyat Sarawak bersama pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa malam semalam bagi membincangkan strategi mereka.
Pakatan Rakyat Sarawak ditubuhkan pada April tahun ini dan ini adalah kali pertama majlis itu mengadakan mesyuarakat mereka.

PAS: Jangan Biarkan Tharmendran Jadi PI Bala

PAS hari ini menggesa kerajaan menjamin keselamatan bekas sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N Tharmendran yang mendakwa dia diugut oleh bekas rakan-rakannya berhubung kes kecurian enjin jet.
"Saya tidak mahu Tharmendran menerima nasib yang sama seperti apa yang terjadi kepada saksi-saksi utma kes berfoail tinggi, di mana mereka terpaksa melarikan diri demi keselamatan,” kata naib presiden PAS, Salahuddin Ayub pada sidang medianya di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.
Salahuddin secara tidak langsung merujuk kejadian penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang mendakwa beliau terpaksa 'menyembunyikan diri' selepas membuat pendedahan mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Sebelum ini, bapa Tharmendran mendakwa anaknya didera dan dipukul seperti lembu oleh pegawai TUDM dan dipaksa mengaku bertanggungjawab mencuri dua enjin pesawat pejuang F5.
Selepas dibebaskan dengan ikat jamin, Tharmendran menyembunyikan diri dan mendakwa pegawai TUDM cuba membawanya ke pangkalan tentera udara, walaupun dari segi teknikal, beliau kini adalah orang awam.
Salahuddin pada sidang media hari ini, juga menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat secara terperinci kes berprofil tinggi tersebut.
"Oleh kerana kes ini berlaku semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Pertahanan, maka saya berpandangan ia tidak boleh diselesaikan dengan proses mahkamah biasa dan Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.
Hadir sama pada sidang media di Pejabat Agung PAS pagi tadi, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Bagi saya mustahil kes ini hanya melibatkan seorang pegawai bawahan biasa, ianya perlu dibongkar dan disiasat," ujarnya lagi.
Rakyat Malaysia, katanya tidak mahu lagi melihat Tharmendran menjadi orang yang keseterusnya bertindak ke luar negara bagi mencari perlindungan dan menyelamatkan diri dari ancaman.
Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.
Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun dua minggu lalu, Tharmendran dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan.

Gagal Dapat Perlindungan, Tharmendran Pilih Penjara

Bekas Sarjan TUDM, N Tharmendran membatalkan ikatjamin terhadap dirinya selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah perlindungan.
Tharmendran memfailkan permohonan perintah perlindungan di sebuah balai polis berhampiran.
Kehadiran dua pegawai TUDM yang berada di perkarangan mahkamah mengusarkan peguam-peguam Tharmendran yang bimbang anak guamnya itu akan 'ditahan.'Berikutan pembatalan ikatjamin itu, Tharmendran akan kembali ke Penjara Sungai Buloh - dua minggu selepas dibebaskan dengan ikatjamin RM50,000.
Tharmendran berdepan dengan tuduhan mencuri dan bersubahat mencuri dua enjin jet daripada Pangkalan Tentera Udara Subang pada Disember 2007.
Peguam utamanya, N Surendran berkata Tharmendran membuat permohonan tersebut kerana dia bimbang akan dibawa oleh pegawai TUDM yang sedang menunggu di luar dewan mahkamah.
"Ini menunjukkan bahawa orang yang pernah diseksa sebelum ini, tidak mahu diseksa lagi," kata Surendran mengenai dakwaan pelanggannya diseksa oleh pegawai perisik tentera.
Surendran mendakwa terdapat cubaan dari pihak TUDM untuk menangkap anak guamnya itu untuk dibawa balik ke Pangkalan TUDM 16 Julai lalu.
Menurutnya, beberapa kakitangan tentera udara - tiga lelaki dan seorang wanita - muncul di rumah Tharmendran di Seremban Jumaat lalu bertanyakan tentang "lapor diri ke kem".
"Ibu bapanya bagaimanapun berkata mereka tidak tahu di mana anaknya berada selepas meninggalkan rumah akhir-akhir ini untuk menetap di tempat lain," kata Surendran.
"Perkara ini serius kerana tertuduh bukan lagi Sarjan TUDM dan sudah meletakkan jawatan 28 Mei lalu," kata Surendran.
Hadir pada perbicaraan ini adalah tertuduh bersama K Rajandran Prasad, yang diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo.
Pihak pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya Ishak Muhamad Yusof.
Mahkamah seksyen menetapkan 6 September sebagai tarikh sebutan kes dan sambungan perbicaraan.

Jumaat, Julai 16, 2010

SPRM Sedih Kematian Teoh?

Saya yakin ramai kakitangan SPRM sedih dan tidak berpuas hati di atas peristiwa yang menimpa Teoh Beng Hock pembantu politik kepada exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, dijumpai mati pada 16 Julai tahun lalu selepas disoal siasat semalaman di pejabat SPRM Shah Alam.
Berikutan peristiwa itu, imej suruhanjaya itu telah tercemar teruk, terutama di kalangan masyarakat Cina.
"Saya mewakili diriku sendiri dan semua kakitangan SPRM. Kami berkongsi kesedihan dan kekecewaan bersama-sama dengan keluarga Teoh terhadap apa terjadi pada 16 Julai 2009," kata ketua pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed dalam kenyataan tersebut.
"Walaupun setahun sudah berlaku sejak berlakunya insiden malang itu, kami masih merasa kesedihan dan kepiluannya. Sebagai seorang ayah dan yang paling tua dalam keluarga, saya dapat merasai betapa dalamnya kepiluan yang tidak tertanggung apabila anggota keluarga," tambahnya.
Samada kenyataan pesuruhjaya SPRM ini hanya sandiwara politik atau ikhlas, saya yakin dan percaya ramai kakitangan SPRM sendiri yang mahukan keadilan untuk Teoh Beng Hock.Setakat manakah keadilan untuk Teoh Beng Hock?

Rabu, Julai 14, 2010

Saman Ekor Macam ISA Ke-2: Ketua Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Saman ekor yang diamalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas pesalah trafik tidak ubah seperti 'ISA kedua' untuk rakyat, kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan at-Tantawi.
Menurut beliau, sepatutnya kerajaan tidak terus menyenaraihitamkan pesalah trafik melalui saman ekor sehingga dihalang memperbaharui cukai jalan.
Sebaliknya, beliau berkata, mereka yang terbabit wajar dibuktikan bersalah di mahkamah terlebih dahulu.
"Saya lihat isu saman ekor ini seperti kerajaan nak cipta ISA kedua," jelas beliau kepada Harakahdaily.
“Sepatutnya mereka perlu dibawa ke mahkamah, kesalahan mesti dibuktikan, mereka perlu diberi ruang untuk beri ulasan, bukannya diperas ugut."
Disebabkan itu, beliau mencadangkan kerajaan supaya menitikberatkan soal pendidikan kepada pengguna jalan raya.
"Sepatutnya mendahulukan keadaan mendidik rakyat. Tindakan kerajaan sangat tidak wajar kerana kerajaan tidak mendidik rakyat, tetapi lebih untuk memeras wang rakyat," katanya.
Katanya lagi, kerajaan seharusnya mencontohi beberapa negara maju dalam menangani gejala salah laku pengguna jalan raya.
"Seperti di Jepun, setiap kereta dibekalkan alat pengesan laju. Di Jerman, setiap 5 kilometer untuk pastikan pemandu memandu dalam keadalan selamat," ujarnya.

Lawan Ceramah Dengan Ali Rustam: Iskandar Samad

10 Julai saya telah pergi berceramah di Melaka. Tempatnya adalah Kg. Bukit Pulau dalam DUN Bukit Baru, DUN Ketua Menteri Ali Rustam.
Tiba dalam jam 8.45 malam bersama Hj. Hashim, Kamarul dan Shukri. Turut akan berceramah adalah pemimpin PKR dan DAP Melaka.
Ceramah PAS/PR
Ceramah diadakan di Markas PAS dan terkejut apabila mendapati 3 rumah dari tempat saya berceramah ada ceramah Umno.
Lebih terkejut bila tahu yang berceramah adalah Ketua Menteri Ali Rustam. Sudah tentu dia bertujuan untuk mengganggu ceramah kami.
Ceramah Ali Rustam
Yang peliknya dia bukan berceramah biasa tetapi berdiri di rostrum dan menunggu apa yang saya dan penceramah kita ucapkan.
Apabila ada isu yang dibangkitkan, dia akan menjawab isu tersebut. Jika dia tidak pasti apa yang diucapkan, dia akan bertanya, "Apa dia cakap?". Macam budak-budak.
Dia juga diberikan kertas-kertas kecil dari masa ke semasa yang dicatit apa yang telah diucapkan oleh saya dan penceramah-penceramah kita.
Apabila saya membangkitkan isu APCO, dia pula akan berceramah tentang Yahudi dan sudah tentu untuk mempertahankan Umno dan menyerang kita.
Pada saya tindakan Ali Rustam ini amat memalukan bagi seorang Ketua Menteri. Beliau tidak "gentleman", takut rakyat mendengar hujah-hujah kita. Tindakan beliau mungkin hanya layak dilakukan oleh seorang Ketua Cawangan Umno.
Sebagai seorang Ketua Menteri, beliau sepatutnya menunjuk akhlak yang baik dan bukan seperti seorang samseng kampung yang memeras ugut orang luar yang melalui kampungnya.
Walau bagaimanapun, saya merasa bangga kerana kehadiran saya di Melaka malam tadi disambut oleh Ketua Menteri dan ahli Parlimen kawasan.
Pegawai polis yang hadir pula berpaku-paku. Rupa-rupanya taraf Exco Selangor sama dengan Ketua Menteri Melaka.
Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku. Apabila Salahudin Ayub datang berceramah sebelum ini, Ali Rustam juga berceramah.
Itu sebabnya apabila Dr. Hatta Ramli turun berceramah tidak lama lagi, penganjur malam itu berkata mereka akan menyediakan satu rostrum untuk Ali Rustam berceramah bersama. Jemputan itu telah disampaikan oleh pengerusi majlis malam tersebut.
iskandar56100.blogspot.com

Selasa, Julai 13, 2010

Malulah Sikit Ali Rustam oi…

Tindakan Umno mengadakan ceramah dalam jarak 50meter dari ceramah PR pada Sabtu lepas di Kampung Bukit Pulau amat-amat memalukan dan menunjukkan mentaliti kebudak-budakan Ali Rustam dan konco-konconya.
Ali Rustam dalam ceramahnya seakan-akan mengadakan persembahan pidato murid darjah 3, yang langsung tidak berkualiti dan tidak berfakta.
Jika murid darjah 3 berpidato sekejap-sekejap garu kepala, Ali Rustam berceramah sekejap-sekejap ketawa.
Mungkin pentas paling sesuai untuk Ali Rustam berceramah adalah pentas Raja Lawak.
Jika benar Ali Rustam berani untuk berdepan dengan PR, sepatutnya beliau menerima jemputan debat dari PR.
Apabila pengerusi majlis mencabar Ali Rustam untuk berdebat dan menyatakan kesediaan untuk menyediakan tempat, hadirin semua ketawa termasuk polis yang berpakaian seragam.
Ketawa kerana apa? Kerana semua tahu tak mungkin Ali Rustam berani.
Memalukan Umno SEDUNIA saja Ali Rustam ni…
Disebabkan melayan karenah kebudak-budakan Ali Rustam, malam itu lebih 10 orang polis berpakaian seragam terpaksa bertugas. Itu belum termasuk SB yang berpakaian preman.
Amat menakjubkan, ceramah Ali Rustam hanya dihadiri tak sampai 100 orang manakala ceramah PR sekitar 300 orang. Yang suatu ketika dahulu sebelum pru-12 saya pernah hadir ceramah PAS di lokasi yang sama dan hanya dihadiri tak sampai 20 orang.
Mungkin Ali Rustam tertekan dengan sambutan rakyat terhadap PR.

Alat CIA: Utusan Biadap, Umno Terdesak

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Tuduhan dangkal dan biadap ini datang selepas kenyataan tegas Datuk Seri Anwar yang menyelar tindakan Amerika dan regim zionis secara konsisten mutakhir ini. Malah, tambah menjengkelkan, kemunculan Datuk Seri Anwar di dalam temuramah CNN yang beroperasi di Amerika Syarikat juga dijadikan sebagai satu 'pembuktian longgar' Umno bahawa Anwar adalah alat CIA.
Serangan terbaru ini sekaligus menzahirkan Utusan telah menjadi akhbar nyamuk yang mengkhianati perjuangan tokoh-tokoh seperti Allahyarham Usman Awang, Keris Mas dan A.Samad Said. Utusan kini jelas bukan lagi satu institusi, tetapi media yang telah terlacur sepenuhnya.
Tuduhan alat CIA nyata berat dan biadap dalam keadaan segalanya bermula apabila beberapa isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Anwar secara umumnya dan Keadilan khususnya mendapat perhatian rakyat dan gagal dijawab secara berfakta oleh Umno-BN. Ini termasuklah isu APCO yang kini disambung kontrak, penglibatan Asiasoft di dalam maklumat perisikan negara, dan yang terkini ialah isu mengenai potensi Felda untuk bankrap berikutan penurunan prestasi kewangan yang membimbangkan.
Jawapan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussien bahawa tindakan akan diambil sekiranya ada bukti menunjukkan Umno begitu terdesak untuk membunuh karakter Anwar. Jawapan itu juga menunjukkan bahawa institusi polis sekaligus telah hilang kredibiliti apabila setelah 12 tahun isu alat CIA dimainkan, Datuk Seri Anwar masih gagal disabitkan dengan sebarang bukti konkrit dan sahih.
Strategi membunuh karakter Datuk Seri Anwar ini mudah dibaca: untuk mewujudkan persepsi negatif ke atas Datuk Seri Anwar di kalangan masyarakat Melayu. Melihat kepada potensi pilihan raya umum diadakan pada tahun ini, taktik busuk ini dicatur meskipun longgar. Kesinambungan pemberitaan negatif ke atas Datuk Seri Anwar ini jelas tidak berasaskan bukti-bukti yang kukuh. Apatah lagi, kes konspirasi liwat yang dicatur ke atas Datuk Seri Anwar juga semakin menemui jalan buntu.
AMK percaya bahawa semua ini dicatur berpaksikan kepada kegagalan Umno untuk meyakinkan rakyat dalam beberapa isu yang membangkitkan kemarahan rakyat mutakhir ini, termasuklah pembaharuan kontrak APCO di dalam urusan pengurusan komunikasi kerajaan Umno-BN.
Malah AMK tidak menolak bahawa inilah hasil yang membanggakan hasil konsultansi APCO kepada Umno. Imej Datuk Seri Anwar 'dibunuh' sehabisnya, pimpinan Pakatan dilaga-lagakan dengan isu-isu lapuk, akhbar-akhbar Pakatan seperti Suara Keadilan, Harakah dan Roket juga sedang berhadapan masalah pembaharuan permit.
AMK mendesak Utusan Malaysia menarik balik tuduhan biadap ke atas Datuk Seri Anwar tanpa sebarang kompromi, atau AMK akan bertindak untuk memimpin rakyat melakukan protes ke atas Utusan Malaysia.

Boikot Utusan Malaysia!

Shamsul Iskandar Mohd Akin,
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Anwar Agen CIA: UMNO Makin Gila

Li Fook Gao
KUALA LUMPUR, 12 Julai: Para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketawa besar dengan usaha terkini mengaitkan penasihat partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan agensi perisik Amerika Syarikat, Central Intelligence Agency (CIA) melalui tulisan blogger yang jarang dikenali umum.
"Pemimpin Umno dan media menuduh Anwar sebagai agen Amerika dan Yahudi, tetapi juga memetik tulisan bahawa CIA dan Mossad ingin membunuhnya. Mereka sudah gila," kata Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali melalui laman perhubungan komuniti, Twitter.
Mingguan Malaysia, telah menyiarkan satu berita mengenai seorang blogger dari New York, bernama "Elaine Meinel Supkis" yang tidak dikenali umum yang menuduh Anwar adalah "agen CIA" di dalam sebuah tulisan yang dipaparkan di blognya.
Walaupun suratkhabar tersebut menggambarkan blogger itu sebagai "seorang yang menonjol", namun tiada sebarang maklumat tambahan yang dapat diperolehi daripada siasatan Harakahdaily pada beberapa enjin carian mengenai nama penulis mahupun blog miliknya.
Namun begitu, perkara tersebut tidak menghalang para pemimpin Umno melengahkan masa untuk mengutuk Anwar berdasarkan laporan tersebut, dengan Rais Yatim, salah seorang ahli Majlis Tertinggi parti itu, menyatakan kepercayaan beliau terhadap blogger tersebut kerana beliau yakin blogger tersebut telahpun melakukan siasatan yang secukupnya sebelum menulis artikel tersebut.
"Diharapkan penulis blog berkenaan mempunyai asas-asas yang menyokong dakwaan tersebut, tetapi saya percaya apa yang diterbitkan itu tentulah sudah disiasat oleh penulisnya dan bukan hanya tulisan kosong," kata Rais yang memuji blogger tersebut.
Manakala, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein pula enggan mempercayai sebarang hujah mengenai keakraban Anwar dengan CIA, tetapi beliau memberikan amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap Anwar, sekiranya terbukti, Anwar adalah ancaman kepada keselamatan negara."Tak tahulah sama ada (alat) CIA atau tidak, tetapi kita tengok banyak rahsia dia sudah terbongkar," katanya kepada wartawan.
Sementara itu, Pengarah Strategik PKR dan ahli parlimen Batu, Tian Chua tidak menolak kemungkinan bahawa ada satu perancangan oleh kerajaan untuk menahan bekas Timbalan Perdana Menteri itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA.
Tian Chua berkata Perdana Menteri Najib Razak seharusnya mengetahui perkara tersebut dengan lebih baik daripada mempercayai kebodohan Utusan dengan kempen fitnahnya.
"Utusan-Umno semakin bodoh. Siapa-siapa, minta tolong hantarkan kepada Najib Razak, seorang propagandis yang lebih cerdas. Bukan ke kontrak APCO telah dipanjangkan?" seloroh beliau sambil merujuk kepada perunding imej Najib, APCO Worldwide yang telah dikritik keras baru-baru ini atas pertalian erat syarikat tersebut dengan para pemimpin Israel.

Jumaat, Julai 02, 2010

Anwar Mangsa Lobi Zionis

Kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat beberapa hari lalu bukanlah untuk 'memujuk' Yahudi, sebaliknya bagi menyampaikan ucapan berhubung Islam dan demokrasi di Asia Tenggara, kata ketua penerangan PKR.
Latheefa Koya berkata perkara itu telah dijelaskan kepada pemimpin parti itu dalam mesyuarat majlis pimpinan pusatnya di Shah Alam Ahad lalu.
"Bukan untuk pujuk Yahudi. Beliau juga pergi untuk bertemu dengan anak lelakinya yang sedang menuntut di sana," katanya ketika diminta mengulas laporan bahawa ketua umum PKR itu berkunjung ke luar negara bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut.
Utusan Malaysia melaporkan, tindakan itu ekoran Anwar dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu firma perunding APCO Worldwide baru-baru ini.
Memetik tulisan dalam Washington Post, akhbar Umno itu melaporkan Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk pengerusi jawatankuasa luar negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.
Malah, Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Latheefa berkata, Anwar telah menjelaskan kepada pemimpin PKR bahawa dalam pertemuannya dengan pemimpin negara kuasa besar itu, beliau mengambil peluang menjelaskan perbezaan istilah "Yahudi" dan "Zionisme" seperti yang digunakan dalam konteks Malaysia.
Ini kerana, kata Latheefa, sikap anti-Yahudi adalah satu bentuk rasis kerana Yahudi itu mewakili bangsa sesuatu kaum.

'Mereka American'

"Anwar jelaskan bahawa beliau bukan anti-Yahudi tetapi anti Zionis," katanya yang menyifatkan pemimpin nombor satu Pakatan itu menjadi mangsa lobi Zionis di Amerika Syarikat yang terlalu luas.
"Beliau tak pernah minta maaf kerana mengkritik Zionis."Latheefa juga menjelaskan pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin tertentu di luar negara hanyalah atas dasar "pertemuan pemimpin Malaysia dan Amerika".
"Mungkin kebetulan mereka Yahudi. Tetapi ini bukan isu, mereka American (orang Amerika)," katanya lagi.

Mahfuz Persoal Status Washington Post Disebalik Konflik Menjerut Leher Politik Anwar

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan status Washington Post di sebalik konflik yang menjerut leher politik Anwar, Ketua Umum PKR.
"Anwar sudah jelaskan bahawa dia tidak mohon maaf pada Yahudi, tetapi akhbar-akhbar ini terus menyerang dia padahal dia beberapa hari di sebuah negara (Amerika Syarikat) yang nyata sokong Yahudi.
"Sepatutnya Anwar perlu dilayan istimewa seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kita sebelum ini yang dapat petunjuk APCO Yahudi untuk menyokong dasar luas Amerika terhadap status negara haram Israel," katanya.
Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa pelobi Yahudi di Rumah Putih serta propagandis dalam Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) bertanggungjawab dalam membunuh karektor Anwar di peringkat antarabangsa sejak beberapa bulan lalu.
Dari kemungkinan itu juga, beliau berkata, sekaligus menyerlahkan lagi peranan APCO dalam menggunakan media arus perdana tempatan untuk mengenakan Anwar.
"Kalau sudah Washington Post pun mungkin didalangi oleh agen-agen mereka, tak mustahil beberapa media tempatan (pro) Umno ini pun terbabit kerana APCO adalah tempat mereka (kerajaan) pohon petunjuk dari segi komunikasi," tegasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau turut menyindir kepemimpinan tertentu dalam kerajaan.
"Petunjuk dari APCO ini nampaknya mujarab untuk Najib, dia dah guna kaedah Yahudi yang selalu kita tonton dalam televisyen untuk bunuh pemimpin pembangkang yang anti Yahudi.
"Inilah kejayaan, kalau tidak takkan timbalannya (Tan Sri Muhyiddin) sendiri boleh percaya dengan berita antarabangsa itu (Washington Post) untuk bunuh mana-mana pemimpin pembangkang yang dilihat anti Yahudi (dan) anti-perkauman di negara ini," jelasnya.
Melihat pada jalur permainan media di peringkat antarabangsa dan tempatan terbabit dalam membunuh karektor Anwar, beliau berkata, agen Yahudi serta agen APCO terbabit mungkin berminat untuk membantu Umno menghadapi Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.
"Kalau dah begini kaedah Yahudi APCO bekerja di peringkat antarabangsa, tak mustahil mereka ini berminat untuk bantu Umno BN membuat kejutan dalam pilihan raya umum depan ini," jelasnya.

Umno Guna Apco Serang Anwar

KUALA LUMPUR, 1 Julai: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno menggunakan isu APCO Worldwide untuk menyerangnya semasa berada di luar negara.
“Masalahnya, Umno menggunakan APCO, yang diketahui mempunyai hubungan dengan Israel, untuk menyerang saya di luar negara,” ujarnya kepada media di Parlimen petang ini.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini berhubung perjumpaannya dengan beberapa pemimpin Yahudi di Washington sebagaimana laporan akhbar Washington Post, Isnin lalu.
Berita muka depan Utusan Malaysia hari ini melaporkan Anwar yangh dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh Yahudi disahkan mengunjungi Amerika Syarikat (AS) pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut selepas dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti Yahudi dalam isu APCO Worldwide, baru-baru ini.
Kunjungan Anwar itu didedahkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post.
Berkenaan dengan zionis, Anwar menjelaskan, beliau ditanya kenapa menggunakan perkataan itu.
Jelasnya, mengikut fahamannya, zionis adalah berhubung kait dengan pencerobohan dan dasar imperial Israel yang terus memperluaskan wilayah Israel yang asal sehingga dalam keadaan sekarang.
Tetapi, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, mereka kata, bagi mereka zion adalah tanahair Yahudi.
“Saya kata jika itu istilah anda, ia berbeza dengan apa yang saya faham. Itu yang diputar belit oleh Utusan (Malaysia).
“Bila saya kata ‘dunia sudah hilang kesabaran terhadap Israel', itu Utusan tak sebut. Bila yang membayar lebih RM70 milion kepada APCO, itu Utusan tak sebut, jadi kita fahamlah. Saya pun tak fikir RTM dan TV3 akan sebut, itu faktanya,” kata beliau lagi.
Anwar menjelaskan, tujuan beliau ke Washington adalah di atas jemputan Woodrow Wilson International Center untuk memberikan syarahan.
Selepas itu, katanya seperti biasa diadakan perjumpaan yang telah diatur untuk kakitangan editorial dan media antarabangsa.
“Ramai rakyat Amerika dan Yahudi merasakan ia adalah satu terjemahan yang tidak adil kerana bagi mereka, zion adalah negeri/kerajaan yang adil dan sah.
“Jadi saya katakan pada mereka, jika itu maksud mereka, saya tidak merasakan demikian, dan saya tetap dengan pendirian dan fahaman saya bahawa zion itu adalah pencerobohan dan penjajahan,” jelasnya.
harakahdaily

Khamis, Julai 01, 2010

Kenapa Rakyat Perlu Turun Kempen Tak Nak Judi 03 Julai?

Suhaizan Bin Kaiat
Setelah rakyat mendapat kejayaan mendesak kerajaan membatalkan lesen judi sukan pada 25hb Jun 2010 maka rakyat perlu pergi ketahap kedua Kempen Tak Nak Judi yang akan dilancarkan pada 3hb Julai 2010 pukul 2 petang di Masjid Negara.
Nama Kempen Tak Nak Judi adalah dicadangkan sendiri oleh seorang yang berbangsa cina bernama Sdr. Ng Yap Hwa daripada Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG).
Dato’ Dr. Toh Kin Woon Bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Parti Gerakan sekarang ini menjadi Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) berpendapat judi bukanlah budaya masyarakat cina.
Sdr Thiagarajah Sokalingam daripada Tamil Foundation juga berpendapat judi boleh meruntuhkan masyarakat dan negara.
Mr Tom Grey, Presiden Persekutuan Lesen Perjudian Kebangsaan, Amerika telah membuat kajian bahawa jika kerajaan mendapat $1.00 pendapatan daripada judi maka kerajaan kehilangan $1.9 kos pembayar cukai untuk mengatasi masalah yang berlaku kesan daripada judi seperti jenayah, bengkrap, ketagihan, keruntuhan rumah tangga dan lain-lain.
Antara kejayaan kempen pertama Gerakan Rakyat Membantah Judi(GMJ) selain daripada pemansuhan judi sukan adalah semua bangsa dalam negara ini boleh bersetuju bahawa judi adalah suatu nilai yang tidak baik dalam negara.
Dalam menuju sebuah negara yang maju, aman dan damai Malaysia perlu bebas untuk menolak nilai-nilai yang tidak baik seperti rasuah, salahgunakuasa, pembaziran, jenayah, perjudian dan lain-lain lagi.
Tahap kedua Kempen GMJ ini adalah untuk mendidik masyarakat membenci judi melalui Kempen Tak Nak Judi. Oleh kerana telah lebih 50 tahun negara ini menghalalkan judi maka pendekatan berhikmah diperlukan untuk memisahkan judi daripada kehidupan masyarakat yang tegar terhadapnya.
GMJ memahami usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia perlu suatu keazaman yang tinggi daripada semua anggota masyarakat, NGOs, parti politik dan pihak kerajaan. Kita jangan pandang kebelakang lagi dalam mempastikan rakyat dan negara bebas daripada amalan berjudi.
Pemansuhan lesen judi sukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri membuktikan adanya persaingan antara kuasa rakyat untuk menghindar diri daripada judi dengan syarikat judi yang mahu mempertahankan perniagaanya.
Kedua-dua pihak mendesak kerajaan menjayakan cita-cita masing-masing. Kerajaan Barisan Nasional (BN) dilihat berpihak kepada siapa yang lebih kuat . Ini bermakna jika rakyat lemah memperjuangkan pembebasan judi dalam negara maka kesempatan ini akan diambil oleh syarikat judi untuk mengembangkan sayap perniagaanya. Inilah realiti yang harus difahami oleh rakyat Malaysia.
Oleh itu rakyat Malaysia sudah tiada punya pilihan lagi kecuali bersungguh-sungguh menyelamatkan negara ini daripada aktiviti judi. Maka kehadiran rakyat Malaysia dalam Kempen Tak Nak Judi di Masjid Negara pada hari sabtu 3hb Julai 2010 jam 2 petang adalah sangat penting bagi membuktikan keazaman kita semua.
Janganlah keazaman syarikat judi mempertahankan perniagaannya lebih kuat daripada keazaman rakyat membenci judi. Kalau kita tiada keazaman ini dikuatiri kita macam menyokong judi dalam negara.
Suhaizan Bin Kaiat
Setiausaha
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).