Kontroversi tentang isu arak di Selangor sekali lagi membuka ruang kepada media dan BN untuk menyerang Pakatan Rakyat.
Kesan 50 tahun pemerintahan Umno/BN yang gagal sama sekali untuk mengawal penjualan arak kepada umat Islam mengakibatkan orang bukan Islam tidak dapat memahami dan menerima tindakan MBSA yang melakukan rampasan arak.
Apapun, tindakan PAS Selangor yang terlalu keras apabila mendesak supaya Exco Ronnie Liu meletak jawatan ataupun ditukar portfolionya kerana terlibat dalam mengarahkan pemulangan arak yang dirampas membuka ruang kepada Umno/BN untuk memainkan isu ini.
Perselisihan ini selesai di depan media apabila semalam Dato Dr. Hasan Ali dan Ronnie Liu sepakat untuk berdamai dalam isu ini dan beberapa perkara disepakati.
Sebenarnya, dalam konteks hendak melakukan dakwah dan amal makruf nahi mungkar, banyak perkara yang perlu diteliti dan tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa. Kejahilan rakyat terhadap Islam hasil pemerintahan lebih 50 tahun Umno/BN tidak boleh diatasi dalam tempoh tak sampai 2 tahun pemerintahan PR.
Isu arak di Selangor tidak boleh disamakan dengan Kelantan. Tindakan kerajaan PAS Kelantan dalam menangani isu arak agak sukar untuk dipraktikkan di Selangor kerana penduduk bukan Islam di Selangor adalah tinggi.
Antara kaedah untuk menyekat arak terhadap umat Islam yang boleh diambil untuk peringkat awal, kerajaan Selangor boleh melakukan kempen besar-besaran "ARAK HARAM DISISI ISLAM" dengan mengiklankan di papan tanda besar di tepi jalan, dan mensyaratkan setiap kedai yang menjual arak hendaklah meletakkan slogan kempen dengan jelas dan boleh dibaca pelanggan.
Program-program penerangan kepada pemilik premis yang menjual arak juga perlu dibuat supaya mereka sensitif dalam isu ini. Dan kompaun juga perlu dikenakan kepada mereka jika didapati bersalah menjual arak kepada umat Islam.
Masih banyak lagi cara untuk mencegah arak daripada umat Islam yang boleh diambil dan difikirkan oleh kerajaan Selangor tetapi bukan dengan cara drastik memandangkan rakyat kini amat jahil hasil pemerintahan Umno/BN 50 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan