Seorang pemimpin DAP menafikan dakwaan orang Melayu yang menyertai parti itu disifatkan sebagai "kumpulan sesat dalam politik" dan "digesa agar kembali ke pangkal jalan".Ahli jawatankuasa pusat DAP Ahmad Ton sebaliknya mendakwa Umno sendiri yang menyesatkan orang Melayu di negara ini."Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sanggup mengikut (semangat) pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Ikut Umar Abdul Aziz tidak sesat."Di Pulau Pinang, sekolah agama rakyat, kerajaan negeri bantu. Kalau di Johor, ia ditutup," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Selain Ahmad yang sudah lama bergiat dalam DAP, parti itu turut melantik Tunku Abdul Aziz Ibrahim, yang sebelumnya terkenal aktif bersama Transparency International, sebagai naib pengerusinya Ogos tahun lalu.Abdul Aziz kemudiannya dilantik sebagai anggota Dewan Negara.Ahmad, yang juga naib pengerusi DAP Johor, berkata beliau berasa malu dengan tindakan kerajaan negeri itu, berbanding dengan kerajaan Pulau Pinang yang membantu sekolah agama rakyat (SAR) terutama menaikkan gaji guru-guru dan menyedia peruntukan kepada sekolah terbabit."Jadi tidak betul, kalau (Umno) kata kita sesat," tambahnya.SAR di negeri itu ditutup secara berperingkat-peringkat mulai tahun lepas dan DAP bersama Pakatan Rakyat di Johor menghantar memorandum kepada menteri besar berhubung isu tersebut.Ahmad diminta mengulas dakwaan Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan bahawa orang Melayu yang menyertai DAP sebagai kumpulan tersesat jalan politik dan digesa kembali menyokong Umno.Pemimpin Umno itu dipetik berkata tindakan mereka juga satu kesilapan besar kerana perjuangan DAP tidak langsung membela Melayu dan perkembangan Islam, malah turut menyamaratakan semua kaum, sekali gus menguburkan terus hak istimewa orang Melayu.Dihubungi hari ini, Ahmad menambah, perjuangan DAP bertujuan mewujudkan bangsa Malaysia dan ia bertepatan dengan isi al-Quran yang mahu manusia yang berbilang kaum saling berkenal-kenalan dan berkasih sayang."DAP dilihat sebagai parti Cina sebab kaum Cina ramai masuk, tidak ramai ramai orang Melayu masuk. Cuba orang Melayu ramai masuk, jadi parti orang Melayulah," katanya.Sementara itu, penyelaras Unit Penyelidikan DAP Wan Hamidi Hamid menyifatkan kenyataan pemimpin Umno itu "kurang cerdik" dan "agak menyedihkan" bagi seseorang yang berjawatan tinggi dalam parti."Nampak sentimen perkauman agak kuat," katanya kepada Malaysiakini.Tambahnya, sejak DAP ditubuhkan lebih 40 tahun lalu, terdapat pemimpin Melayu yang pernah bertanding atas tiket parti itu, antaranya, allahyarham Ahmad Noor."Kenapa (Umno) tidak tegur (beliau) masuk DAP sebagai sesat?" kata Wan Hamidi, pengarang buku Lim Guan Eng: Dari Penjara ke Tampuk Kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan