Rabu, Julai 14, 2010

Saman Ekor Macam ISA Ke-2: Ketua Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Saman ekor yang diamalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas pesalah trafik tidak ubah seperti 'ISA kedua' untuk rakyat, kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan at-Tantawi.
Menurut beliau, sepatutnya kerajaan tidak terus menyenaraihitamkan pesalah trafik melalui saman ekor sehingga dihalang memperbaharui cukai jalan.
Sebaliknya, beliau berkata, mereka yang terbabit wajar dibuktikan bersalah di mahkamah terlebih dahulu.
"Saya lihat isu saman ekor ini seperti kerajaan nak cipta ISA kedua," jelas beliau kepada Harakahdaily.
“Sepatutnya mereka perlu dibawa ke mahkamah, kesalahan mesti dibuktikan, mereka perlu diberi ruang untuk beri ulasan, bukannya diperas ugut."
Disebabkan itu, beliau mencadangkan kerajaan supaya menitikberatkan soal pendidikan kepada pengguna jalan raya.
"Sepatutnya mendahulukan keadaan mendidik rakyat. Tindakan kerajaan sangat tidak wajar kerana kerajaan tidak mendidik rakyat, tetapi lebih untuk memeras wang rakyat," katanya.
Katanya lagi, kerajaan seharusnya mencontohi beberapa negara maju dalam menangani gejala salah laku pengguna jalan raya.
"Seperti di Jepun, setiap kereta dibekalkan alat pengesan laju. Di Jerman, setiap 5 kilometer untuk pastikan pemandu memandu dalam keadalan selamat," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan