Tajuk posting saya kali ini barangkali akan memeranjatkan sesetengah pihak. Lanjutan daripada perbincangan berhubung Terminal Bas Shah Alam, saya bersama beberapa Ahli Majlis MBSA telah melawat kilang Carlsberg pada hari Khamis 5 Ogos, jam 3 petang. Kami disambut oleh Dato’ Chin Voon Loong, Timbalan Pengarah Urusan Syarikat berkenaan. Beliau memberikan penjelasan dan latar belakang syarikat serta prestasi perniagaannya semenjak ianya mula beroperasi. Untuk makluman semua, kilang Carlsberg Shah Alam telah mula beroperasi pada tahun 1972, iaitu 38 tahun dahulu. Ia merupakan di antara kilang yang terawal di kawasan tersebut dan semasa ianya dibina, hanya hutan dan belukar di kelilingnya.
Dari segi operasinya, kilang tersebut mempunyai 300 orang pekerja, sebahagian darinya orang Melayu beragama Islam. Sambil itu, 100% dari bahan keperluan utama ia itu ‘Malt’ diimpot dan 50% dari produk keluarannya diekspot. Dewasa ini, pasaran sasaran adalah di luar Negara kerana pasaran Malaysia dianggap tepu.
Setelah selesai penerangan beliau, saya mula menceritakan hajat kunjungan kami ke kilang tersebut. Saya menjelaskan kepada Dato’ bahawa kedudukan kilangnya amat strategik dan walaupun dahulunya ianya dikelilingi hutan, sekarang ianya bagaikan mercu tanda pintu masuk ke Bandar Raya Shah Alam. Saya bertanya samada pihak kilang mempunyai apa-apa rancangan ‘extension’ atau pembesaran dan samada rancangan itu mungkin terlaksana di tapak itu atau memerlukan tapak yang lebih luas. Saya menyebut bahawa sekiranya tapak yang lebih luas diperlukan, maka kemungkinan satu tapak di pelabuhan Klang, memandangkan 100% bahan keperluan Malt diimpot dan 50% bahan keluaran diekspot, boleh diusahakan. Sekiranya itu merupakan satu kemungkinan, maka tapak kilang itu hendaklah kita ‘ear mark’ atau cadangkan sebagai tapak Terminal Bas Shah Alam.
Dato’ menyatakan bahawa beliau faham sensitiviti masyarakat Shah Alam berhubung kilang beliau dan itulah di antara sebab pihak Carlsberg juga mengambil satu pendekatan ‘low profile’. Mereka tidak menonjolkan kehadiran mereka dengan secara keterlaluan. Sambil itu, menurut beliau lagi, mereka telah menanamkan pelaburan yang tinggi di situ dan telahpun membeli tanah di tepi kilang mereka pada tahun 2000 atau 2001 yang seluas 6 ekar untuk menampung keperluan pembesaran. Kawasan berlebihan ini masih kosong dan mencukupi untuk apa-apa perancangan pembesaran mereka.
Kos pengangkutan pula tidak merupakan satu faktor kos yang besar dan oleh itu, walaupun ianya mungkin satu penjimatan, ianya tidak merupakan sebab yang kukuh, dari sudut kommersil, untuk mereka berpindah.
Setelah mendengar penjelasan beliau, maka amatlah jelas bahawa kemungkinan mereka berpindah adalah amat tipis sekali. Sekiranya diminta berpindah sekalipun, ianya memerlukan perbelanjaan yang terlalu besar yang perlu ditanggung oleh pihak kerajaan Negeri. Oleh itu, walaupun tapak itu kelihatan yang paling strategik, ianya tidak mungkin digunakan untuk Terminal Bas Shah Alam. Satu tapak yang lain, yang berhampiran landasan keretapi komuter dan juga lebuh raya perlu dikenalpasti.
Oleh yang demikian, saya beralih pula kepada persoalan kakitangan Melayu Islam yang berkerja di kilangnya. Keadaan mereka, lebih-lebih lagi memandangkan bulan Ramadhan sudah menjelang, perlu diambil tahu. Walaupun mereka berkerja di kilang arak, sebagai pendakwah, maka tidak seharusnya terlalu cepat menghukum dan memutuskan hubungan dengan mereka. Mereka orang Islam dan usaha untuk meningkatkan kefahaman dan seterusnya penghayatan mereka terhadap Islam perlu dilakukan sepertimana ianya dilakukan terhadap seluruh anggota masyarakat, tanpa mengira latar belakang pekerjaan mereka.
Saya difahamkan bahawa adanya surau di kilang tersebut dan dalam masa yang sama terdapat juga Persatuan Kebajikan Islam. Ketua persatuan pekerja, menurut belia ialah seorang Melayu. Saya meminta Dato’ memberi saya nombor talefonnya supaya dapat saya hubunginya dan terus berurusan dengannya.
Sejurus dengan itu pertemuan berakhir dan Dato’ meminta agar kami semua bergambar sebagai kenang-kenangan. Maklumlah kata Dato’, selama hampir 30 tahun dia bekerja di situ, tidak pernah kilangnya dilawati “rombongan yang seperti kami”! Terdetik juga rasa khuatir bahawa gambar itu akan disalah gunakan oleh pihak penyokong UMNO sepertimana yang terjadi dengan isu kuil Seksyen 19 dahulu di mana ianya diputar-belitkan. Namun, saya berserah kepada Allah dan saya rasa tiada yang perlu saya takutkan kerana saya tahu mengapa saya ke situ. Kerana, sekali lagi, seperti biasa, PR perlu berusaha keras bagi merongkaikan ikatan dan simpulan akibat bercelaru hasil peninggalan UMNO/BN.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan