Rabu, November 18, 2009

Ahli PAS Perlu Kuasai Fakta Sesuatu Isu

Pilihanraya kecil dun Bagan Pinang telah berlabuh tirai. Isa Samad mungkin masih meraikan kemenangannya. Namun daripada salah satu pengalaman rakan (dikenali sebagai Aman) yang menceritakan kepada saya, menjadikan saya ingin berkongsi kepada semua.
Dua hari sebelum hari mengundi, beliau dan beberapa ahli PAS telah turun padang berkempen dengan mengedarkan risalah kempen dan meraih undi. Tiba-tiba lalu seorang pemuda, dipercayai penyokong atau ahli Umno dan seorang ahli PAS telah memberikan risalah kempen kepada pemuda tersebut.
Lalu pemuda itu bertanya, “apa yang PAS boleh buat kalau PAS menang? PAS boleh buat pembangunan ke? Tengok tu Kelantan tak maju,” Soalan tersebut telah menaikkan kemarahan beberapa ahli PAS disitu. Lalu seorang ahli PAS di situ membalas jawab dengan mendakwa bahawa PAS bagus, perjuangkan Islam, tak rasuah, dan sebagainya.
Ahli PAS tersebut langsung tidak menjawab soalan pemuda itu secara berfakta. Sebaliknya melalut meraban entah ke mana-mana. Memandangkan Aman adalah yang paling muda daripada kalangan ahli PAS disitu, jadi Aman hanya memerhati di tepi.
Pergaduhan hampir tercetus apabila pemuda tersebut terus menerus mendakwa bahawa PAS tak boleh membawa pembangunan dan ahli PAS tersebut pula tiada hujah untuk menangkis tohmahan pemuda itu.
Akhirnya, pemuda tersebut berkata “sudahlah, kalau saya silap saya minta maaf. Tak baik kita bergaduh sesama melayu dan Islam” sambil terus bersalaman dan memeluk ahli PAS tersebut. Ahli PAS tersebut pula yang masih dalam keadaan marah terpinga-pinga dengan tindakan penyokong Umno tersebut.
Pokoknya sekarang, jelas memperlihatkan mereka tidak berilmu dalam sesuatu isu. Bukankah boleh dijawab “Kelantan tak maju sebab kerajaan pusat tak bantu. Mana-mana negeri BN pun kalau tiada peruntukan pembangunan daripada kerajaan pusat, tak mungkin sesuatu negeri itu akan maju”.
Dan masih banyak lagi fakta lain yang boleh dijawab, antaranya Kelantan tersisih daripada menerima royalti minyak, Kelantan dianak tirikan kerajaan pusat dan lain-lain lagi.
Menurut Aman, peristiwa tersebut amat memalukan. Sikap taksub dan tidak berilmu segelintir ahli PAS harus dikikis. Ahli PAS sepatutnya berilmu baik dari ilmu agama dan menguasai isu semasa, serta harus pandai mengawal emosi apabila berhadapan dalam keadaan tidak diduga. Jangan jadi seperti “orang ketawa kita ketawa, sebab ketawa tak tahu apa”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan