Jumaat, Januari 14, 2011

PAS Selangor Gesa Malaysiakini Betulkan Laporan

PAS Selangor menggesa portal berita Malaysiakini membuat pembetulan berkaitan laporan mengenai kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali yang disiarkan semalam.
Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman berkata, laporan Malaysiakini itu sangat berbeza dengan kenyataan serta maksud sebenar Pesuruhjaya PAS Selangor ketika mengadakan sidang media berhubung isu perlantikan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru.
Kata beliau, tajuk laporan Malaysiakini 'PAS Selangor makin mesra dengan Kusrin' sangat mengelirukan malah telah menimbulkan salah faham dikalangan ahli-ahli PAS.
Selain itu kata beliau, laporan Malaysiakini yang menyebut: 'Hassan juga memberikan amaran kepada kerajaan negeri Selangor supaya tidak menyerang Khusrin secara peribadi kerana ia tidak adil dan boleh menimbulkan masalah dengan 28,000 kakitangan kerajaan yang ada' - merupakan satu pembohongan kerana Pesuruhjaya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu sepanjang sidang media.
Malahan katanya, Malaysiakini juga menambah cerita dengan memetik Hassan Ali kononnya berkata "Jika mereka buat piket, kita akan bermasalah,".
"Saya tidak tahu bagaimana laporan berita seperti ini boleh dibuat, sama ada wartawan tersalah lapor atau editor yang keliru.
"Justeru saya mengesa Malaysiakini membuat pembetulan semula secara terbuka dan meminta maaf kepada Pesuruhjaya. Laporan berita ini telah menimbulkan masalah kepada PAS Selangor dengan ahli-ahli dan menjejaskan hubungan kami dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat," kata beliau kepada Harakahdaily.
Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali turut mengingatkan pimpinan PAS Selangor supaya tidak bercanggah dengan keputusan PAS Pusat dalam isu di Selangor ekoran laporan tersebut.
Ditanya sama ada PAS Selangor mahu mengambil tindakan tegas seperti menyaman Malaysiakini, Khairuddin berkata pihaknya tidak terfikir untuk sampai ketahap itu.
"Ini mungkin hanya kekeliruan atau kesilapan yang tidak disengajakan, tak perlulah pergi hingga ke mahkamah. Lagipun saya percaya Malaysiakini akan bersikap profesional dengan mengambil kira etika kewartawanan mereka dalam perkara ini," kata beliau.
Menurut Khairuddin, pihaknya akan menghantar notis rasmi kepada Malaysiakini berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Menjelaskan perkara sebenar, Khairuddin berkata semalam PAS Selangor telah mengeluarkan pendirian rasmi yang pertama berhubung kemelut perlantikan SUK di Selangor melalui sidangmedia oleh Pesuruhjaya sendiri.
Dalam kenyataan bertulis yang dibacakan oleh Pesuruhjaya kata beliau, PAS mahu isu di Selangor diselesaikan secara bijak dengan mengambil kira empat unsur penting iaitu istana, kerajaan negeri, kakitangan kerajaan dan rakyat.
Katanya, PAS juga menekankan dua unsur berkaitan yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang terlibat dalam isu perlantikan SUK iaitu peruntukan undang-undang dan amalan konvensyen.
"Saya disebelah Pesuruhjaya sepanjang sidang media itu, tidak timbul isu PAS Selangor tidak menyokong kerajaan negeri seperti yang cuba digambarkan oleh Malaysiakini, malah dalam kenyataan yang sama turut ditegaskan PAS akan bersama-sama dengan kerajaan negeri dalam isu ini," jelas beliau.
Bahkan tambah beliau lagi, Pesuruhjaya sendiri menegaskan pihak PAS bersama dalam usaha mengadakan sidang DUN yang akan mencadangkan meminda Perlembagaan Negeri bagi mengambalikan semula kuasa kerajaan negeri dan fungsi Raja berpelembagaan dalam kontek melantik Setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang.
Bagaimanapun kata Khairuddin, beliau percaya kekeliruan Malaysiakini itu berpunca daripada soalan wartawan kepada Pesuruhjaya iaitu bagaimana hubungan beliau sebagai Exco Agama Selangor dengan Kusrin sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.
"Dalam perkara ini Hasaan Ali menjawab secara peribadi iaitu hubungannya dengan Kusrin sebagai pengubal dasar dan pelaksana dasar dan tidak ada percanggahan diperingkat itu.
Perbezaan antara mereka timbul diperingkat perlaksanaan kerana Kusrin seorang pegawai kerajaan melihat sesuatu isu dalam perspektif seorang pentadbir sedangkan beliau mengambil kira pelbagai aspek termasuk amalan dalam Pakatan Rakyat, komposisi penduduk dan realiti politik di negeri Selangor.
"Bagaiamanapun Hassan Ali menyebut dalam banyak keadaan beliau ada makanisma menghadapi perbezaan itu kerana berpengalaman dalam pengurusan kerajaan dan memahami cara bekerja kakitangan kerajaan," katanya.
Selain itu kata beliau, Hassan Ali turut ditanya keperluan untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan peranan istana dalam melantik SUK kerana Kusrin telah mendapat perkenan Sultan.
Kata Khairuddin, Hassan Ali menjawab perkara ini bukan berkaitan individu tetapi proses perlantikan itu yang samar dan membelakangkan peranan kerajaan negeri.
Semalam Harakahdaily melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor daripada Barisan Nasional khususnya Umno diminta oleh Hassan Ali hadir ke sidang DUN khas membabitkan cadangan untuk meminda Perlembagaan Negeri Selangor.
Hassan berkata, pindaan yang hendak dilakukan ini untuk memertabatkan kembali kedaulatan Sultan sebagaimana pre - 1993 iaitu berkaitan lantikan-lantikan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) melalui cadangan Menteri Besar (MB) dan kemudiannya perkenan daripada Istana.
Kata beliau, hadir atau tidak Adun Umno dalam sidang itu akan mencerminkan diri sebenar mereka.
"Apakah yang mereka laungkan selama ini (mempertahankan kedaulatan Raja-raja) lahir daripada hati nurani yang ikhlas atau hanya untuk memancing sokongan rakyat kepada mereka sahaja.
"Sekiranya wakil Umno tidak hadir ternyatalah mentaliti mereka seperti tahun 1992 dan 1993 (bersetuju kuasa Raja-raja dikurangkan), dengan ini rakyat akan kenal wajah sebenar pemimpin Umno yang hanya bersendiwara," kata pesuruhjaya PAS itu.
Menurut Hassan sidang tersebut bertujuan untuk membincangkan isu berkaitan perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri - yang telah menimbulkan kemelut dalam pentadbiran Selangor - dalam perspektif yang betul.
Katanya, tujuan pindaan Perlembagaan Negeri itu juga merupakan satu langkah menjadikan undang-undang tersebut lebih jelas dan boleh dirujuk berkaitan kuasa kerajaan negeri kerana peruntukan yang ada sekarang agak samar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan