Khamis, Oktober 15, 2009

PR Harus Muhasabah Diri


Keputusan pilihanraya kecil dun Bagan Pinang memperlihatkan Umno/BN mencapai keputusan yang mengejutkan, yang pasti tidak dijangka oleh Umno/BN untuk menang begitu besar dan mungkin tidak pernah terfikir Pakatan Rakyat untuk kecundang sebegitu teruk. Tetapi ikhlasnya, dari awal lagi saya telah menjangkakan yang PAS akan kecundang dengan majoroti yang lebih besar dari tahun 2008, tetapi tidak menjangkakan sehingga majoriti melebihi 5 ribu undi.
Bersandarkan pilihanraya kecil (PRK) sejak kebelakangan ini iaitu PRK Penanti di mana undi PKR menurun, PRK Manik Urai yang mana PAS menang nyawa-nyawa ikan, dan PRK Permatang Pasir yang mana majoroti PAS menurun, serta pembebasan pemimpin-pemimpin Hindraf dan tertubuhnya Parti Makkal Sakhti, Pakatan Rakyat seharusnya sedar bahawa sokongan rakyat terutama bukan melayu sedikit sebanyak akan berkurangan dan beralih kepada BN.
Pakatan Rakyat tidak seharusnya yakin bahawa sokongan rakyat akan kekal memandangkan sekarang ini Perdana Menteri yang baru Datuk Seri Najib Razak tidak selemah dan sebodoh Pak Lah. Dan perbalahan secara terbuka antara pemimpin Pakatan Rakyat berjaya dimanipulasi oleh media yang sekaligus memberikan imej yang buruk kepada rakyat.
PAS juga tidak sepatutnya meletakkan pesuruhjaya PAS N.Sembilan sebagai calon Bagan Pinang jika dari awal menjangkakan PAS sukar untuk menang lebih-lebih lagi tiada isu besar yang dapat mempengaruhi pengundi untuk menolak BN. Sepatutnya PAS meletakkan anak tempatan sebagai calon walaupun mungkin tiada nama, tetapi sekurang-kurangnya lebih baik daripada mempertaruhkan nasib Pesuruhjaya Negeri di tempat yang tak mungkin menang.
Sebelum ini saya pernah menulis bahawa perjuangan BERSIH seharusnya diteruskan dimana sekarang ini kita melihat perjuangan Bersih tidak lagi menjadi keutamaan setelah ramai pemimpin Pakatan Rakyat bergelar YB setelah menang dengan cemerlang dalam Pilihanraya Umum 2008. Tetapi di Bagan Pinang, Pemuda PAS dan Pakatan Rakyat tiba-tiba sahaja terkial-kial bertemu SPR untuk membantah undi pos kerana tahu yang PAS sukar menang memandangkan undi pos yang begitu besar. Kenapa di Bagan Pinang baru hendak bersuara tentang undi pos? Kenapa selepas PRU 2008, PR tidak terus perjuangkan matlamat Bersih di mana salah satu tuntutan Bersih ialah memansuhkan undi pos?
Pakatan Rakyat seharusnya meneliti setiap kelemahan dan membaikinya, serta merapatkan kerjasama antara parti, dan cuba sedaya mungkin menutup perbalahan melalui media. Dan yang paling penting, Pakatan Rakyat harus berusaha menarik semula sokongan bukan melayu yang kini sedikit sebanyak telah lari kepada BN, dan amat penting adalah dengan menarik sokongan melayu yang sehingga hari ini masih tidak mengalami peningkatan selepas PRU 2008. Itupun jika tidak mahu sejarah 2004 berulang kembali, tatkala di masa itu Barisan Alternatif yakin untuk memerintah Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan