Ahad, Oktober 04, 2009

Shahruddin:Kesilapan Teknikal Atau Menyesal?


Hasrat Shahruddin Abdul Hamid untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, tidak kesampaian. Beliau keluar dari pusat penamaan calon selepas mendapati pencadangnya bukan dari Bagan Pinang.
Semasa meninggalkan dewan itu, Shahruddin memberitahu pemberita yang beliau sedang mencari seorang pencadang dari kawasan DUN itu untuk menyokong pencalonannya. Shahruddin tidak muncul lagi selepas itu.
Shahruddin menyifatkan kegagalannya itu sebagai "kesilapan teknikal". Shahruddin yang mesra dengan panggilan "Capt" berkata SPR menolak kertas pencalonannya kerana pencadang beliau, Ros Hamdan, bukannya pengundi DUN itu.
Shahruddin yang pernah bekerja dalam industri perkapalan, tiba di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson jam 9.10 pagi, sebelum beredar dari dewan itu kira-kira 20 minit kemudian.Bekas ahli PKR itu berkata beliau berjaya mencari pencadang gantian tetapi gagal mencari pejabat pesuruhjaya sumpah untuk mengesahkan borang itu."Semua pejabat pesuruhjaya sumpah di sini tutup. Saya minta maaf kepada penyokong saya," katanya yang mana Jumaat lepas mengisytiharkan keluar PKR selepas berkeras untuk bertanding.
Ada yang mengatakan beliau sengaja melakukan kesilapan tersebut bagi memberi laluan kepada PAS dan BN untuk bertanding satu lawan satu. Ini kerana masakan beliau tidak tahu bahawa pencadang dan penyokong calon mestilah pengundi di Dun yang diadakan pilihanraya. Dengan kata lain beliau sengaja melakukan kesilapan mudah tersebut bagi memberi laluan kepada PAS dan BN.
Ada pihak yang mengatakan beliau ditaja untuk bertanding atas tiket bebas bagi memecahkan undi, tetapi merasa bersalah di saat-saat akhir dan sengaja melakukan kesilapan tersebut supaya penyertaannya ditolak oleh SPR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan