Rabu, Julai 15, 2009

PAS Menang Tipis

Pas akhirnya berjaya mengekalkan kerusi Dun Manik Urai tetapi dengan kemenangan tipis. Haji Fauzi atau Abe Uji memperolehi 5,348 undi manakala calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat mendapat undi 5283 undi. Majoriti kemenangan Haji Fauzi adalah sebanyak 65 undi sahaja. Sejumlah 92 undi rosak. Peratusan keseluruhan pengundi yang membuang undi adalah 10,722 undi atau 87.22 % dari pengundi keseluruhan yang berjumlah 12,293 pengundi.
Analisis awal menunjukkan PAS hanya menang di 4 peti undi dari 9 peti undi kesemuanya. Sedangkan pada pilihanraya umum lalu PAS menang di 8 peti undi dan kalah hanya 1 peti undi iaitu Manjor. Dari segi saluran pula PAS hanya menang 14 dari 27 saluran semuanya.
Undi PAS menurun sebanyak 398 dan BN meningkat sebanyak 889 undi berbanding keputusan Pilihanraya umum 2008 di mana Allahyarham Pak Su Wil memperolehi 5746 undi berbanding calon BN Zulkepli Omar mendapat 4394 undi sahaja.
Dari awal lagi pemimpin dan penyokong cukup yakin PAS akan menang selesa iaitu mungkin melebihi 1000 undi atau sekurang-kurangnya menang dengan majoriti kira-kira 500 undi tidaklah seburuk 65 undi. Jika dibandingkan dengan Pilihanraya Umum 2008 PAS mengalami kekurangan undi sebanyak.
Lebih mengejutkan pada jam 4.00 petang pada hari pengundian tersebut, Pengarah Pilihanraya PAS Negeri Kelantan Haji Abdul Fatah Haron dengan nada yakin menyatakan bahawa PAS akan menang dengan majoriti lebih dari 2,000 undi memandangkan lebih dari 85 % pengundi telah keluar mengundi pada waktu itu.
Fatah berkata, jentera pilihanraya parti itu telah mengumpul dan mengira pembuangan undi setakat jam 4.00 petang.
"Saya tak ingat berapa peratusan yang diperoleh oleh PAS dan BN.
“Tetapi saya boleh kata, kita akan menang dengan majoriti hampir 2,000 undi,” tambahnya dipetik dari media internet pada hari pengundian.
Namun semuanya berubah apabila pengiraan undi dibuat di setiap peti undi. Satu demi satu keputusan yang diterima dari peti undi menunjukkan saingan amat sengit antara PAS dan BN. Malah pemimpin dan penyokong PAS berada dalam keadaan yang amat cemas sehingga pada suatu ketika PAS hanya mendahului dengan 33 undi sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan