Khamis, September 09, 2010

Harapan saya sempena 1 Syawal pemulaan baru tanpa politik perkauman - Teresa Kok

Kini tiba penghujung bulan Ramadan iaitu bulan yang suci buat penganut Islam.
Setiap kali Ramadan tiba, saya akan teringat bagaimana pada bulan Ramadan tahun 2008, pihak yang tidak bertanggungjawab telah memfitnah saya melarang laungan azan sehingga saya dipenjarakan di bawah ISA.
Saya kesal bahawa pada bulan yang suci ini, pihak yang tidak bertanggungjawab tidak insaf dan masih lagi memfitnah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bagi memecah-belahkan masyarakat Malaysia. Lebih teruk lagi ialah isu-isu yang dimain-mainkan ialah isu kaum dan agama, seperti:
1. Gambar palsu menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyembelih lembu korban telah disebarkan. Gambar tersebut adalah rekaaan PhotoShop dalam komputer dan Lim Guan Eng tidak pernah berbuat begitu.
2. Beberapa masjid di Pulau Pinang telah difitnah menggantikan nama DYMM Agong dengan nama Lim Guan Eng di dalam khutbah mereka, walau pun ia tidak pernah berlaku.
3. Kehadiran Lim Guan Eng di majlis penyampaian wang zakat dipersoalkan walau pun penyampaian wang zakat dilakukan oleh pemimpin beragama Islam dan Lim hadir sekadar Ketua Menteri sahaja.
4. Teo Nie Ching telah difitnah menyampaikan tazkirah oleh akhbar Utusan Malaysia walaupun dia dengan hati terbuka cuma menerima jemputan jawatankuasa surau untuk berucap sepatah dua di dalam surau. Walau pun difitnah, Teo dengan rendah diri telah segera meminta ampun daripada Sultan Selangor dan semua muslimin dan muslimat. Namun begitu, ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab terus menggalakkan pembohongan ini walau pun saya percaya di dalam hati mereka, mereka tahu bahawa tiada siapa yang percaya Teo berniat jahat.
Segala fitnah ini bertentangan dengan konsep 1Malaysia mereka yang dikatakan menggalakkan semua rakyat Malaysia bersatu. Bahan fitnah tidak harus dijadikan isu politik demi kesejatheraan dan keharmonian rakyat.
Saya berharap 1 Syawal yang akan tiba esok dapat menanamkan azam baru untuk membina masyarakat yang benar-benar menghargai kepelbagaian budaya dan agama semua warga Malaysia tanpa menjurus ke politik perkauman.
Dengan itu, saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir dan batin kepada semua penganut Islam. Bagi mereka yang akan “balik kampung”, selamat pulang. Sila berhati-hati di jalan raya dan semoga sambutan bersama sanak-saudara meriah sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan