Khamis, Mei 14, 2009

Mat Rempit Tak Akan Selesai

Mutakhir ini media arus perdana kerap kali memainkan isu mat rempit dan jenayah yang mat rempit lakukan. Isu mat rempit bukannya isu baru. Ianya sudah berlarutan dari zaman tok kadok lagi.
Ada pandangan yang mengatakan perlu dibina litar lumba motor lebih banyak bagi mengatasi masalah merempit. Tetapi kita harus sedar, mereka merempit bukan kerana semangat kesukanan bermotor, tetapi kerana hadiah lumayan yang ditawarkan seperti wang, bohsia, cikaro dan berbagai taruhan yang lain.
Pihak berkuasa juga kurang mengadakan operasi yang serius bagi membenteras gejala merempit. Contohnya di Melaka, tiap-tiap hari ahad petang mat rempit akan berpesta dengan merempit beramai-ramai dan melanggar lampu isyarat sehingga kenderaan lain terpaksa berhenti dan memberi laluan VIP kepada mereka. Perkara ini telah berlaku semenjak dari tahun 2006 hingga sekarang, tetapi pihak berkuasa tidak pula mengadakan sekatan jalanraya pada hari ahad.
Lebih parah lagi, Pemuda Umno dan Putera Umno kerap kali mengadakan aktiviti mendekati mat rempit, tetapi tidak pula mendekatkan mat rempit dengan agama. Sekadar mengajak mat rempit bergotong royong dan berkonvoi. Dan lebih teruk lagi, mat rempit digunakan oleh BN ketika pilihanraya diadakan.
Filem-filem yang dihasilkan mengenai mat rempit juga tidak banyak pengajaran. Contohnya filem "Rempit", walaupun kesudahan cerita tersebut watak utama mati kemalangan kerana berlumba, tetapi para penonton lebih nampak dan gemar dengan babak-babak berahi dan skil merempit dalam cerita tersebut, sehingga kanak-kanak ada yang bercita-cita untuk merempit hasil daripada pengaruh cerita tersebut.
Kesimpulannya, selagi mereka tidak diberikan pendekatan agama, selagi pusat-pusat hiburan berleluasa, selagi program-program hiburan melampau yang menjurus ke arah maksiat terus diadakan, selagi pihak berkuasa lebih berminat mengadakan sekatan jalanraya di ceramah-ceramah pakatan rakyat daripada mengadakan sekatan jalanraya untuk mat rempit, selagi itu isu ini tak akan selesai dan akan terus bercambah sehingga ke anak cucu kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan