Rabu, Februari 10, 2010

Dakwaan Zulkifli Nordin Tak Berasas

Dakwaan Zulkifli Nordin yang juga ahli parlimen Kulim Bandar Bahru daripada PKR bahawa tindakan Jamaluddin Radzi dan Osman Jailu melompat parti menjadi adun bebas yang mesra BN adalah kerana rasa tidak puas hati terhadap pimpinan DAP tidak berasas sama sekali.
Zulkifli juga mendakwa bahawa tindakan adun Lunas yang juga merupakan bekas exco kerajaan PR Kedah Mohd Radzi Salleh keluar PKR dan menjadi adun bebas yang mesra BN juga kerana tidak puas hati terhadap wakil tunggal adun DAP di Kedah.
Selain itu Zulkifli juga mendakwa perletakan jawatan Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan adun Penanti juga disebabkan tekanan hebat daripada DAP pimpinan Lim Guan Eng.
Dakwaan dan tuduhan Zulkifli itu dibuat dalam program ‘Soal Jawab’ yang disiarkan di TV3 jam 10malam Isnin lepas sebagai menjawab soalan daripada ‘hos’ program tentang masalah yang melanda Pulau Pinang sekarang.
Jika benar adun-adun PKR ini tidak puas hati dengan DAP, amat tidak rasional mereka melompat menjadi adun bebas yang mesra BN dan amat tidak munasabah Fairus Khairudin meletakkan jawatan sebagai adun walaupun mungkin dilihat munasabah jika beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 tetapi kekal sebagai adun Penanti.
Sepatutnya, jika ada yang tidak puas hati antara kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, perbincangan harus dilakukan dengan berlapang dada.
Tindakan beliau yang menyerang Pakatan Rakyat khasnya DAP dalam rancangan tersebut amat-amat dikesali lebih-lebih lagi beliau langsung tidak menyerang kerajaan BN yang mana telah melakukan pelbagai tindakan keji untuk memporak porandakan Pakatan Rakyat sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan