Jumaat, Mac 05, 2010

YB Zul Tak Akan Lompat Parti

Baru-baru ini kecoh bahawa kemungkinan yb Zulkifli Nordin (ahli parlimen Kulim Bandar Bharu) akan mengambil tindakan melompat parti.
Ini bersandarkan tindakan beliau yang seakan-akan sengaja bermusuh dengan PKR dan Pakatan Rakyat.
Secara peribadi saya yakin, walaupun yb Zul ini jenis degil, macam bagus, celupar, semberono, tak hormati pandangan orang lain, tetapi beliau tak akan menggadaikan maruah beliau dibeli oleh Umno.
Saya juga yakin beliau tidak semurah harga Zahrain, Mohsin, Osman Kepialu dan lain-lain katak yang telah melompat parti itu.
Cuma saya harap lembaga disiplin PKR bertindak adil dalam mengadili kes yb Zul. Lebih-lebih lagi isu kalimah Allah, kenapa diletakkan panel disiplin yang bukan Islam 3 orang, Islam seorang?

Khamis, Mac 04, 2010

Mereka Semua Pengkhianat!





Sekurang-kurangnya Fairuz Letak Jawatan

Dalam hal lompat parti ni, saya lebih menghormati Fairuz Khairuddin. Beliau yang baru-baru ini mengumumkan menyertai Umno, itu merupakan hak beliau.
Apa pun imbuhan yang beliau dapat dari Umno, itu antara beliau dengan Allah swt. Tetapi jika SPRM boleh siasat, ianya lebih molek.
Tetapi sekurang-kurangnya beliau tidak menggadaikan dun Penanti kepada Umno/BN, tidak seperti posmen Jamaluddin, askar Osman Kepialu, Zahrain, Tan Tee Beng, adun Lunas & adun Pelabuhan Klang yang telah mengkhianati mandat rakyat.
Tahniah Fairuz!

Rabu, Mac 03, 2010

MB Tak Jadi Yang Tak Tahu Malu

Pilihanraya umum ke-12 yang lepas, dicanang seluruh Kelantan Awang Adek bakal menteri besar jika BN berjaya mendapat mandat dari rakyat Kelantan untuk memerintah. Poster Awang Adek menghiasi Kelantan, tertera ayat ‘Inilah Menteri Besar Baru Kita’.
Takdir Allah swt BN kalah teruk. Berdekah-dekah saya ketawa pada malam keputusan PRU-12 apabila melihat wajah sugul Awang Adek ditemuramah TV1. Bukan saja BN kalah teruk, Awang Adek sendiri kalah terkangkang dun dan parlimen.
Malu besar Awang Adek, berangan nak jadi MB, tapi tak ukur baju sendiri.
Tapi mungkin manusia jenis Awang Adek ni spesis tak tahu malu. Terlalu biadap merampas tempat Tuan Guru Menteri Besar untuk melepaskan peserta LTdL, walhal Awang Adek ni ketua pembangkang di dun Kelantan pun dia tak layak.
Royalti dia khianat, bendera pelepasan LTdL pun dia nak rampas!
Apakah jenis manusia ini? Mungkin kulit mukanya setebal kulit buaya sehingga tiada perasaan malu langsung…

BN Akan Dapat 2/3

Tindakan ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri keluar PKR menunjukkan kata-kata Datuk Salehuddin Hashim bahawa 10 ahli parlimen PKR akan keluar PKR bukan cakap kosong.
Salehuddin tak mungkin cakap kosong kepada media jika tiada asas kukuh. Kini dalam tempoh tak sampai sebulan, seramai 3 ahli parlimen PKR telah keluar parti dan menjadi ‘bebas’.
Saya yakin BN akan dapat 2/3 di dalam parlimen memandangkan situasi semasa. Perkara ini sekaligus telah menjatuhkan moral dan semangat penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.

Bersihkan Daki Hingga BN Dapat 2/3?

Sehingga hari ini, Pakatan Rakyat telah kehilangan 3 kerusi parlimen. Kerusi pertama, Ibrahim Ali, kerusi kedua dan ketiga, Zahrain Hashim dan Tan Tee Beng.
Khabar angin mengatakan, Pakatan Rakyat mungkin akan kehilangan dalam 5 kerusi parlimen lagi.
Banyak yang berpendapat ini adalah merupakan proses pemutihan parti khasnya PKR, dengan membuang daki yang menjadi masalah pada parti.
Tetapi saya melihat inilah akibat meletakkan calon yang berdaki dalam menggalas harapan rakyat dalam pilihanraya.
Mungkin daki dalam PKR atau Pakatan Rakyat akan dibersihkan sehingga BN dapat 2/3 dalam parlimen.

Selasa, Mac 02, 2010

Warkah Buat Anwar


Zukri Aksah

Saya tidak pasti apakah surat terbuka saya ini akan dibaca oleh saudara atau tidak. Putri sulung saudara, Nurul Izzah Anwar dalam satu kesempatan pertemuan di Parlimen tidak lama dahulu, ketika saya ke sana atas urusan kerja, memberitahu saya yang banyak tulisan saya yang mengkritik saudara telah memberi kesan yang sangat mendalam terhadap keluarga saudara. Atas sebab itu, saya tidak kecil hati jika saudara tidak mahu membaca tulisan ini. Sebagai seorang yang tidak pernah bergelar ahli Umno, sebelum dan selepas, dahulu, kini dan selamanya, percayalah, segala apa yang disebut orang sebagai kritikan, komen atau kupasan saya tentang saudara adalah datang dari seorang kawan, bukan seorang musuh! Cuma mungkin, saya bukanlah kawan saudara seperti Zahrain Hashim ataupun Nallakarupan, saya tidak kenal saudara berpuluh tahun dan saya juga tidak kaya seperti mereka.Saya tidak pernah terlibat dengan reformasi 1998, tetapi saya antara yang hadir dan mengisi borang keahlian bila Parti Keadilan Nasional (PKN - sekarang PKR) dilancarkan pada 4 April 1999 di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur. Pada tahun 1998, ketika saudara sedang hangat memimpin massa menggoncang pemerintahan Mahathir, yang kemudiannya popular dengan nama gerakan reformasi, saya telah ke UUM Kedah melawat junior-junior saya yang masih ada di sana. Dalam perjalanan pulang, saya telah singgah di Kulim, di rumah ayah angkat saya, Ustaz Wahab, seorang pendakwah bebas, juga ahli jawatankuasa Persatuan Ulama Negeri Pulau Pinang ketika itu. Rumahnya di Jalan Ayer Merah, berhampiran dengan Kolej Matrikulasi MARA Kulim, tempat pengajian saya sebelum ke UUM.Dalam kesempatan pertemuan itu, Ustaz Wahab telah bercerita tentang saudara kepada saya, tentang pertemuannya dengan saudara di rumah saudara di Bukit Damansara sebelum saudara ditangkap. Bersandarkan keperibadiannya yang saya kenal, saya percaya apa yang dia percaya, iaitu saudara tidak bersalah! Bahkan Ustaz Wahab telah membawa saya melihat rumah saudara di Cherok Tokun, Bukit Mertajam, sebuah rumah tipikal orang utara, rumah kayu bertiang tinggi yang mana bahagian bawah kemudiannya diubahsuai menjadi tingkat bawah rumah, jadilah ia rumah dua tingkat, keseluruhan rumah saudara dicat warna putih.Ustaz inilah, ayah angkat saya inilah yang membawa saya menyertai PKN @ PKR, sehinggalah saya berjaya mendaki tangga kepimpinan parti, menjadi Exco AMK selama dua penggal, sebelum saya mengambil keputusan mengucap sayonara pada bulan Julai 2007. Dahulu saya menyertai parti ketika saudara menghadapi pertuduhan liwat kali pertama, saya cukup percaya saudara dizalimi, sampai hari ini pun...Ketika saya meninggalkan parti dahulu, saya ada mengatakan yang parti sudah rosak akidah perjuangannya, keutamaannya adalah kedudukan pemimpin-pemimpin besar tertentu dan permainan politik berkaitan dengan bagaimana mempertahankan kedudukan itu. Hari ini ia semakin menampakkan kebenarannya, pemimpin-pemimpin besar inilah, yang kebanyakannya diangkat saudara sendiri, semakin meninggalkan saudara. Tidak kiralah Zahrain Hashim, Nallakarupan dan Datuk Nasha yang hanya seminggu bersama saudara, semuanya dari air tangan saudara. Yang lain termasuklah silver frog dari Perak, Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jailu yang berdosa meruntuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di sana.Ketika saudara mengangkat Zahrain Hashim sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, semata-mata kerana dia adalah sahabat saudara puluhan tahun, tindakan saudara telah ditentang hebat oleh AMK Pulau Pinang yang ketika itu di bawah teraju Amizuddin Ahmat, tetapi saudara pertahankan keputusan saudara. Saudara lihat sekarang, Amizuddin memang seorang yang lantang dan kadang-kadang lepas cakap, tetapi dia kekal setia dengan perjuangan keadilan, sedangkan yang kononnya "sahabat 30 tahun" saudara itu, Zahrain Hashim meninggalkan saudara setelah berjaya mendapat gelaran Datuk Seri, tentulah harganya menjadi semakin mahal sekarang ini.Atas kerisauan yang sama, walaupun telah meninggalkan PKR ketika itu, saya menulis mempersoalkan tindakan saudara melantik Datuk Fauzi Abd Rahman sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Pahang (sekarang Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang). Sumpah, saya menulis itu bukan kerana saya benci atau bermusuh dengan Datuk Fauzi, bahkan anaknya adalah rakan baik saya. Saya cuma prihatin dan bimbang, kata orang tempat jatuh lagi dikenang, ini pula tempat bermain! Saya bimbang dengan bekas elit Umno yang biasa dengan kemewahan, yang biasa dengan kereta menjalar, rumah dan pejabat besar, apakah mereka betah untuk kehilangannya? Apakah pula cita-cita mereka, adakah hanya kerana "sahabat" Anwar seperti Zahrain dan Nallakarupan tadi?Dalam tulisan Sayonara saya dahulu, saya turut mengatakan yang agenda rakyat sudah terkebelakang, isu rasuah tinggal sebagai rencah ceramah, bukan lagi berupa gerakan penentangan, reformasi tercicir di dalam peraturan tetap Angkatan Muda sekadar hiasan slogan. Ketika itu ada kalangan angkatan muda yang pernah bersama saya mempersoalkan hujah saya ini. Hari ini, kalaupun tidak sepenuhnya, sebahagiannya telah terbukti betul. Orang-orang seperti Zahrainlah, seperti Nallakarupan, seperti Jamaluddin dan Osman Jailu yang ucapannya berdegar-degar, kononnya bercakap soal perjuangan telah membenarkan apa yang saya tulis. Tiada gerakan penentangan di bawah pimpinan mereka yang boleh disenaraikan, bahkan yang bercakap berdegar-degar inilah yang akhirnya menjadi petualang perjuangan.Ramai orang menelah, terutama dari kalangan Umno, Ezam adalah trojan horse ketika dia mengambil keputusan menyertai Umno. Namun apa yang jelas hari ini, trojan horse ini lebih ramai di dalam PKR, seperti Zahrain, seperti Jamaluddin, seperti Osman Jailu, dan mungkin juga seperti Zulkifli Noordin. Kebanyakan yang menjadi trojan horse di dalam PKR ini pula adalah "orang pilihan" saudara.Ada juga cerita tentang "orang pilihan" saudara ini dalam PKR Pahang. Umum mengetahui wujudnya krisis kepimpinan di sini, terutama di antara Datuk Fauzi dengan Azan Ismail, Ahli Parlimen Indera Mahkota. Orang bertanya saya, siapa cantas siapa ini? Saya kata susah mahu cakap, sebab dua-dua "orang Anwar."Dalam keadaan PKR sedang berhadapan dengan krisis kesetiaan yang teruk inilah, saudara dihadapkan pula dengan kes pertuduhan liwat versi kedua. Orang yang menuduh saudara namanya Saiful Bukhari Azlan, nama yang saya tidak pernah jumpa ketika masih aktif dalam AMK dahulu. Saya tertanya-tanya, berdasarkan latar belakangnya, mengapakah dia yang saudara pilih untuk bekerja dengan saudara, sedangkan AMK dari seluruh negara mempunyai ribuan calon yang berkelayakan, bahkan ramai dari mereka sanggup bersukarela tanpa dibayar sesen pun, asal sahaja makan minum mereka terjaga.Masalah ini belum lagi dicampur dengan krisis dalaman parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang lain seperti PAS yang masih belum kebah dari dihantui dengan pertembungan kumpulan pro perpaduan dan pro pakatan. Saya faham dalam hal parti lain, saudara hanya mampu memberi nasihat dan pandangan, bukan memberi arahan. Bagi saya, ia sudah satu kejayaan besar jika saudara mampu menyelesaikan masalah pertuduhan liwat kali kedua ini dan paling penting, masalah dalaman PKR yang belum berubat itu.Untuk kali kedua inipun, saya tetap percayakan kata-kata ayah angkat saya dahulu, yang saudara tidak bersalah dan dizalimi. Saya meninggalkan parti dahulu bukan kerana saya percaya apa yang Ezam percaya, tetapi kerana saya cemuih (kata orang utara) dengan politiking dalaman parti, lebih dari itu saya tidak nampak aura perjuangan di wajah bekas-bekas elit Umno yang saudara angkat sebagai pemimpin PKR, sepertimana saya sudah tidak percayakan Ruslan Kassim bila saya bersalam dengannya ketika dia menjadi calon dalam Pilihanraya Kecil Teluk Kemang lama dahulu, dia bersalam tidak melihat muka orang! Yang saya nampak adalah mata yang mengintai peluang kekuasaan, pangkat dan kedudukan, mata yang sedang mabuk kepayang.Atas sebab karamah insaniyah, apakah sekali lagi saya harus bangkit membela saudara? Saudara sendiri lihat, yang tidak ramai lagi reformis yang mengikuti perbicaraan saudara yang kali kedua ini. Saya yakin, mereka juga seperti saya, masih percaya yang saudara tidak bersalah dan dizalimi, soalnya ke mana mereka? Saya rasa sebelum terlambat, saudara mesti berbuat sesuatu.Saya berani mengatakan yang kesalahan saudara adalah kerana saudara tidak mencuba untuk berkenalan dengan mereka, mendalami kelebihan dan pemikiran mereka. Mereka mungkin bukan "sahabat" saudara puluhan tahun, mereka juga mungkin bukan teman bermain tenis saudara, mereka bukan dari kalangan saudagar kaya-raya. Mereka sudah tentu tidak mampu menyumbang harta-benda, tetapi percayalah, mereka adalah pejuang paling setia. Walaupun hari ini mereka tidak lagi menghurungi mahkamah setiap kali perbicaraan saudara berlangsung, tetapi dari jauh mereka tetap menyokong dan berdoa untuk saudara. Mulai sekarang, saudara sudah patut memulakan langkah baru, membina persahabatan baru, dengan anak-anak muda yang tidak pandai berbatik dan berkot ini, di sebalik ini, kebanyakan dari mereka sebenarnya berpendidikan tinggi.Dari segi ini, penghormatan saya jauh lebih besar terhadap Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri saudara, berbanding dengan saudara sendiri. Wan Azizah benar-benar membawa sosok pejuang dari kaum ibu. Sewaktu saudara masih di dalam penjara, saya banyak kali singgah di rumah saudara di Bukit Damansara dan berceramah di sana. Dia seorang ibu sejati, cuba mengenali, cuba memahami, cuba mengambil tahu, siapa anak muda yang tiba-tiba muncul di sekeliling perjuangan ini. Bahkan saya sampai menyimpulkan yang sokongan terhadap saudara tidak pernah surut ketika itu walaupun saudara merengkok di Sungai Buloh adalah kerana tarikan sikap keibuan Wan Azizah (entah kebetulan entah tidak, nama ibu saya juga Azizah).Sekali lagi perlu saya tegaskan, saya tidak pernah membenci, tidak pernah memusuhi saudara. Biasalah bila orang muda menegur, bahasanya panas dan pedas. Di sebalik itu, sampai hari ini saya masih tetap mendoakan kerahmatan hidup saudara sekeluarga.

Rabu, Februari 24, 2010

IIM Perlu Lakukan Survey Semula

Baru-baru ini sahabat saya (kakitangan kerajaan) telah menyertai satu kursus yang mana salah satu ceramah dalam kursus tersebut telah disampaikan oleh wakil dari Institut Integriti Malaysia (IIM).
Dan apabila penceramah tersebut bertanya kepada peserta ‘siapakah yang paling TIDAK dipercayai di Malaysia?’ , rata-rata peserta yang terdiri daripada pegawai kerajaan spontan menjawab ‘hakim!’.
Apabila penceramah tersebut memaparkan survey yang dibuat oleh IIM beberapa tahun yang lepas kepada peserta, ‘hakim’ adalah yang ke-5 yang PALING DIPERCAYAI dan antara yang PALING TIDAK DIPERCAYAI adalah ‘menteri’, ‘ketua perniagaan’ dan ‘ahli politik’.
IIM perlu melakukan survey semula dan saya yakin jika survey dilakukan semula sudah tentu 'hakim' akan tersenarai antara 3 yang paling tidak dipercayai di Malaysia.
Ini jelas kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara terjejas teruk lebih-lebih lagi kes ‘siapa menteri besar Perak yang sah’ dan kes ‘liwat Datuk Seri Anwar’ yang mutakhir ini memberikan persepsi yang sangat buruk terhadap kehakiman negara.

Jumaat, Februari 12, 2010

Kalau Cina Tiada, Melaka Jadi Bandar Hantu?

Saya teringat kata-kata kawan saya tahun lepas. Secara berseloroh dia berkata, “kalau cina tak ada, aku ingat Melaka ni jadi bandar hantu”. Beliau cakap begini susulan kesusahan beliau nak beli sedikit barang dapur di kedai runcit pada hari kedua tahun baru cina tahun lepas.
Natijahnya, pada hari pertama dan hari kedua tahun baru cina, kita akan lihat rumah kedai, bandar, dan pekan sunyi sepi. Tunggu saja pada hari ahad dan isnin ini, rumah kedai di Taman Merdeka, di Air Keroh, di Bukit Baru, akan sepi daripada hari biasa.
Itu belum ambil kira beberapa pasaraya (bukan hyper) yang akan ditutup sekurang-kurangnya dua hari, pasti akan menyukarkan rakyat yang ingin membeli belah.
Pasar-pasar kecil juga kurang meriah daripada beberapa penjual ikan dan sayur, begitu juga dengan pasar malam kerana ramai para penjualnya berbangsa cina.
Kenapa timbulnya keadaan ini? Mana peniaga-peniaga melayu? Ada, tapi banyak mana? Kalau banyak peniaga melayu, pekan dan rumah kedai tak akan jadi sunyi disebabkan perayaan tahun baru cina.
Keadaan ini bagi menjawab yang mana kerajaan BN yang dikepalai oleh Umno selama lebih 50 tahun memerintah Malaysia telah gagal dalam konteks memajukan orang melayu sekurang-kurangnya perniagaan runcit.

Rabu, Februari 10, 2010

Dakwaan Zulkifli Nordin Tak Berasas

Dakwaan Zulkifli Nordin yang juga ahli parlimen Kulim Bandar Bahru daripada PKR bahawa tindakan Jamaluddin Radzi dan Osman Jailu melompat parti menjadi adun bebas yang mesra BN adalah kerana rasa tidak puas hati terhadap pimpinan DAP tidak berasas sama sekali.
Zulkifli juga mendakwa bahawa tindakan adun Lunas yang juga merupakan bekas exco kerajaan PR Kedah Mohd Radzi Salleh keluar PKR dan menjadi adun bebas yang mesra BN juga kerana tidak puas hati terhadap wakil tunggal adun DAP di Kedah.
Selain itu Zulkifli juga mendakwa perletakan jawatan Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan adun Penanti juga disebabkan tekanan hebat daripada DAP pimpinan Lim Guan Eng.
Dakwaan dan tuduhan Zulkifli itu dibuat dalam program ‘Soal Jawab’ yang disiarkan di TV3 jam 10malam Isnin lepas sebagai menjawab soalan daripada ‘hos’ program tentang masalah yang melanda Pulau Pinang sekarang.
Jika benar adun-adun PKR ini tidak puas hati dengan DAP, amat tidak rasional mereka melompat menjadi adun bebas yang mesra BN dan amat tidak munasabah Fairus Khairudin meletakkan jawatan sebagai adun walaupun mungkin dilihat munasabah jika beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 tetapi kekal sebagai adun Penanti.
Sepatutnya, jika ada yang tidak puas hati antara kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, perbincangan harus dilakukan dengan berlapang dada.
Tindakan beliau yang menyerang Pakatan Rakyat khasnya DAP dalam rancangan tersebut amat-amat dikesali lebih-lebih lagi beliau langsung tidak menyerang kerajaan BN yang mana telah melakukan pelbagai tindakan keji untuk memporak porandakan Pakatan Rakyat sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Selasa, Februari 09, 2010

Sogok RM20 Ke 1 Malaysia Gegau Melaka

Seorang pelajar tingkatan 4 mendedahkan Umno cawangan taman perumahan beliau menjanjikan rm20 kepada sesiapa yang turut serta ke program 1 Malaysia Gegau Melaka di Pantai Klebang pada 4 febuari yang lepas. Pihak Umno cawangan juga turut menyediakan bas tanpa mengenakan bayaran.
Namun sehingga semalam, wang rm20 yang dijanjikan masih belum diterima. Beliau yang mendakwa pada peringkat awalnya tidak mengetahui akan diberikan rm20 jika turut serta dalam program tersebut hanya dimaklumkan rakan beliau dan beliau terus memberi nama kepada Ketua Umno cawangan.
Difahamkan bas tersebut hanya dipenuhi dengan pelajar sekolah, dan di tempat program mereka hanya sempat makan serta tidak sempat menunggu cabutan bertuah kerana terpaksa pulang awal memandangkan pada keesokan harinya adalah hari persekolahan.
Seorang pemuda yang tinggal di taman perumahan yang sama mendakwa kawan beliau yang juga anak ketua wanita Umno cawangan tersebut menawarkan rm5 kepada beliau jika bersetuju hendak pergi ke program Gegau tersebut.
Bagaimanapun, beliau yang juga penyokong kuat PAS menolak tawaran tersebut. Beliau juga mempertikaikan kenapa hanya rm5 yang ditawarkan sedangkan yang lain menerima rm20 daripada Umno cawangan.
Ini menunjukkan Umno memang tak boleh lari dari sifat rasuah, menyeleweng, korup dan lanun. Program yang menyediakan makan minum, cabutan bertuah, persembahan tari menari, masih nak disediakan bas dan sogokan duit semata-mata nak capai sasaran 50ribu hadirin.

Rabu, Februari 03, 2010

Pilihanraya Perak Sama Tarikh Pilihanraya Sarawak?

Jika keputusan mahkamah pada 09 Febuari ini memihak kepada Ir. Nizar dalam kes ‘siapa MB Perak yang sah?’, dan Sultan perkenan untuk dibubarkan dun Perak, kemungkinan besar SPR dan BN akan merancang supaya pilihanraya negeri Perak akan seiring pilihanraya negeri Sarawak.
Tindakan tersebut adalah bagi memecahkan kekuatan Pakatan Rakyat dimana kekuatan PKR dan DAP di semenanjung akan berpecah bagi membantu PR di Sarawak dan PR di Perak.
Ini memandangkan PKR dan DAP adalah merupakan parti pembangkang yang berpotensi di Sarawak, tetapi jentera PKR dan DAP di Sarawak masih jauh lebih lemah jika dibandingkan dengan BN. Akibatnya kekuatan PKR dan DAP di semenanjung akan berkurangan untuk membantu PR di Perak.
PAS juga akan menghadapi masalah serupa kerana sudah tentu jentera PAS di semenanjung akan turun membantu di Sarawak jika PAS bertanding di Sarawak walaupun satu kerusi. Dalam masa yang sama tumpuan harus diberikan di Perak yang mana PAS akan bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi dun.
BN pula yang cukup jentera serba serbi dan sikap azali SPR yang condong kepada BN dilihat tidak akan menghadapi masalah besar jika pilihanraya Sarawak dan Perak dijalankan seiring dan sudah tentu memberi kelebihan yang sangat besar untuk BN menang besar di Sarawak dan menang bergaya di Perak.

Implikasi Negatif Lagu Halimah Jongang

Sekali dengar memang kelakar. Lagu Halimah Jongang kini menjadi siulan nakal kanak-kanak dan anak-anak muda, juga segelintir golongan dewasa dan tua yang tak reti bahasa. Tetapi lagu tersebut kini kerap menjadi mainan dan ejekan kanak-kanak terhadap mereka yang bergigi jongang.
Walaupun lagu tersebut dinyanyikan dalam bentuk lawak, tetapi implikasinya terhadap penonton amat besar. Tak pasal-pasal mereka yang bergigi jongang berpotensi untuk diusik. Mereka yang bernama Halimah walaupun tak jongang pun berkemungkinan dipermainkan.
Lagu Halimah Jongang adalah ciptaan Eddie Hamid dan dinyanyikan oleh beliau sendiri, yang mana liriknya telah diubah kerana asalnya lagu tersebut adalah bertajuk Marshella yang dinyanyikan oleh Renggo Arrow (kini menjadi ahli PAS).
Apapun, kita harus ingat gigi jongang adalah merupakan anugerah Allah swt. Menghina dan mengejek mereka yang bergigi jongang, samalah seperti menghina dan mengejek ciptaan Allah.

Kempen Zamry Tak Dapat Sambutan, 4 Ekor Lembu Tak Habis

Hujung minggu lepas dalam 1 program yang dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zamry Kadir di Grik disifatkan tidak berjaya apabila hadirin yang hadir hanyalah kroni dan penyokong tegar.
Akibatnya, lembu sebanyak 4 ekor yang ditumbangkan untuk jamuan majlis tersebut dibazirkan begitu sahaja. Bukan itu sahaja, nasi juga tidak diusik beberapa kawah. Kesudahan nasi dan lauk yang begitu banyak berlebihan itu, tak dapat dipastikan samada dibuang atau tindakan lain.
Sumber yang kebetulan pulang bercuti di kampung halamannya memberitahu, rakyat di tempat tersebut berang dengan seseorang pemimpin BN di situ disebabkan sesuatu hal. Hal tersebut tak dapat saya tuliskan memandangkan ianya adalah berkaitan dengan sensitiviti.
Tetapi menurut sumber, daripada situasi dan emosi semasa jika diadakan pilihanraya semula, Grik yakin akan dimenangi oleh PR.
Samada cerita dari sumber betul atau tidak, tak dapat saya pastikan.

Selasa, Februari 02, 2010

Cabaran Zamry Bodoh Bedengung

Tindakan Datuk Seri Dr. Zamry Kadir mencabar Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin dan 27 lagi kerusi dun perak dari pembangkang meletak jawatan bagi diadakan semula pilihanraya kecil dilihat sebagai cabaran yang tak masuk akal dan bodoh bedengung.
Jika Ir. Nizar dan 27 lagi adun pembangkang di Perak mengosongkan kerusi dan diadakan pilihanraya semula, dan jika pembangkang menang kesemua kerusi tersebut sekalipun, keadaan tetap tidak berubah dimana BN akan tetap memerintah Perak dengan kelebihan 2 kerusi.
Ini belum dilihat dari sudut undang-undang pilihanraya dimana seseorang yang meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat tidak akan dibenarkan bertanding semula dalam tempoh 5 tahun, oleh itu mana mungkin adun pembangkang akan bertindak sedemikian.
Sepatutnya Zamry harus berlapang dada untuk memohon perkenan Sultan membubarkan dun jika hendak diukur sokongan rakyat Perak terhadap BN dan jika benar Zamry bukan pengecut.
Cabaran Zamry tersebut dilihat sebagai tindakan tidak matang dan menampakkan ketidak cerdikan beliau dalam mengeluarkan kenyataan yang semberono.

Jumaat, Januari 22, 2010

Kaji Semula Rancangan Bang Bang Boom

Bila cakap saja Bang Bang Boom, semua tahu rancangan ni berkonsepkan lawak dengan mengenakan orang, atau lebih sopan lagi mendajalkan orang.
Bila ada sasaran yang kena ‘bang’, maka akan gelak ketawalah seluruh penonton yang menyaksikan rancangan tersebut di TV3.
Tapi Bang Bang Boom yang disiarkan rabu malam lepas, rasanya terlalu melampau apabila seorang penghantar barang didajalkan oleh Bang Bang Boom dengan teruk sehingga dimaki hamun, diugut dan diancam ala-ala gangster.
Cuba kita fikirkan dalam-dalam, apa perasaan ahli keluarga mereka yang kena ‘bang’? Yang mana mangsa ‘bang’ digelak dan ditertawakan berjuta penonton.
Sudah hilangkah perasaan belas kasihan mereka yang sanggup mendajalkan orang semata-mata untuk kepentingan dan keuntungan rancangan tersebut dan syarikat penerbitan?
Rancangan tersebut yang jelas tiada manfaat,faedah jauh sekali teladan sepatutnya tidak disiarkan kerana ianya dikhuatiri akan memberikan kesan negatif pada segelintir penonton yang akan menidakkan perasaan belas kasihan untuk mengenakan orang.

Isnin, Januari 18, 2010

PAS Harus Turun Padang Jelas Isu Kalimah ALLAH

PAS harus turun padang dan memberi penerangan secara besar-besaran mengenai isu Allah memandangkan rakyat kini terlalu emosi mengenai isu ini. Ianya sekaligus telah menaikkan imej Umno yang dilihat menjuarai isu ini.
Dukacita saya katakan, dari pemerhatian saya termasuk maklumbalas dari rakan-rakan, kebanyakan penyokong-penyokong PAS dan pengundi-pengundi PR terikut-ikut dengan emosi yang ditimbulkan media dan Umno serta mereka langsung tidak memahami pendirian PAS dalam isu ini.
Dari itu saya menyeru agar penerangan PAS dapat turun padang dan menyatakan pendirian PAS agar rakyat tidak menganggap PAS seolah-olah menggadaikan agama demi kepentingan politik.

Ahad, Januari 17, 2010

Ini Saja Ke Pimpinan PR NS Yang Buat Kerja?




Yang selalu saya nampak, jumpa poster-poster ceramah, banner-banner ceramah, program-program kat NS, muka-muka ni sajalah yang kerap kelihatan.
Yang lain mana? Tidur ke? Macam mana nak menang kat NS kalau PR macam ni gayanya?

Isnin, Januari 11, 2010

Buaya Di Port Dickson?



Dua hari lepas saya ada menerima email yang menceritakan seorang lelaki yang hampir-hampir menjadi mangsa kepada seekor buaya di Port Dickson.
Lalu saya mencari berita tentang kisah buaya di Port Dickson, manalah tahu email tu tipu sebab jarang ada buaya di air masin, lebih-lebih lagi di Malaysia.
Maklumat yang saya temui, sebelum ini memang pernah terjumpa kelibat buaya di Tanjung Tuan. Ianya dijumpai oleh Ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Khoo Swee Seng yang datang ke Tanjung Tuan sempena Minggu Melihat Raptor untuk menyaksikan penghijrahan pelbagai jenis raptor seperti helang yang menyeberang dari Pulau Rupat, Sumatera.
Kelibat buaya tersebut berjaya dirakam Khoo. Bagaimanapun, tidak kedengaran pula ada apa-apa tindakan dari pihak berkuasa. Dari itu, jika perkara ini benar, pihak berwajib digesa untuk mencari jalan penyelesaian mengenai perkara ini kerana ianya mengancam pengunjung dan pelancong yang mandi manda di Port Dickson.
Manalah tahu, nasib tak baik Isa Samad yang kena ngap dengan buaya tu disebabkan beliau pendek dan tak reti berenang.

Ahad, Januari 03, 2010

Ir. Khalid Perlu Berhati-hati Beri Kenyataan, Zulkifli Diharap Berhemah Menegur

Setelah meneliti kenyataan Ir. Khalid mengenai kenyataan beliau yang bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang orang-orang bukan Islam dari menggunakan perkataan 'Allah', dan jawapan Yb. Zulkifli Nordin daripada PKR yang menyanggah kenyataan Ir. Khalid, maka saya di sini agak condong dengan hujah-hujah Yb. Zulkifli (rujuk zul4kulim.blogspot.com).
Maka saya di sini meminta agar Ir. Khalid Samad mengakui kesilapan beliau dan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan dan kenyataan memandangkan setiap pandangan dan kenyataan beliau akan dilihat oleh rakyat sebagai mewakili PAS.
Saya juga menyeru supaya Yb. Zulkifli Nordin lebih berhemah menegur rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dan harus bijak membezakan antara menegur kawan dan menyerang lawan. Tindakan Yb. Zulkifli mendesak Ir. Khalid dipecat daripada PAS dilihat keterlaluan dan seolah-olah beliau bersuara seperti pemimpin Umno yang bertopengkan PKR. Ianya sekaligus memberikan ruang kepada Umno/BN untuk menghuru harakan Pakatan Rakyat. Cukup sekadar teguran dan dakwah, bukan seperti menyerang musuh.